
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan RM19.1 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM500 juta berbanding RM18.6 bilion pada tahun ini.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak RM15.13 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM3.96 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Peruntukan berkenaan akan digunakan bagi memperkukuh prasarana institusi pendidikan tinggi (IPT), meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta menjaga kebajikan mahasiswa.
Bagi menaik taraf kemudahan kampus, kerajaan menyediakan RM800 juta untuk membaik pulih prasarana usang di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), termasuk bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan peralatan pembelajaran.
Selain itu, pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya bakal menyediakan kemudahan penginapan berkapasiti 10,000 mahasiswa, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus di enam IPTA.
Dalam usaha meringankan kos sara hidup mahasiswa, bantuan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa turut dinaikkan kepada RM500, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 60,000 mahasiswa IPTA, khususnya bagi perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Program Dapur Siswa Madani juga diteruskan di universiti awam dan diperluas ke politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membantu pelajar mendapatkan makanan pada harga berpatutan.
Sementara itu, kerajaan memperkenalkan insentif potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus bagi sumbangan pihak luar kepada IPTA untuk menggalakkan penglibatan sektor korporat, industri dan alumni dalam pembangunan universiti.
KPT turut menyambut baik fleksibiliti bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam.
Antara kemudahan diperkenalkan termasuk penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 serta diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara konsisten.
Bagi memperkasa penyelidikan dan inovasi, Dana UNIVC bernilai RM50 juta menerusi kerjasama kerajaan dan KWAP turut diperkenalkan bagi membantu mengkomersialkan hasil penyelidikan serta harta intelek universiti.
Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Malaysia bakal menjadi tuan rumah FIRA RoboWorld Cup ke-32 pada 2027, susulan kejayaan kontinjen Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia meraih 14 pingat pada kejohanan di Kanada, Julai lalu.
KPT berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti dan berdaya saing.
Menurut kementerian itu, setiap inisiatif akan dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bagi melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan negara.- KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: RM19.1 bilion untuk pendidikan tinggi, naik RM500 juta appeared first on Kosmo Online.






