
SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2027 kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seramai sembilan juta penerima akan menerima bantuan SARA sebanyak RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun.
Selain itu, penerima STR berusia 18 tahun ke atas akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan, membabitkan 13 juta penerima.
Anwar berkata, bantuan SARA juga boleh digunakan untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
“Setakat ini, rakan niaga SARA berjumlah 15,000 premis termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi dan kerajaan akan membabitkan penglibatan kedai runcit menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan STR dan SARA, meningkat daripada RM10 bilion pada 2024.





