
KUANTAN: Belanjawan Pahang 2027 dijangka lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan perancangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri baru selesai mengadakan pemukiman selama dua hari bagi memperincikan perancangan Belanjawan Pahang 2027 dengan mengambil kira keperluan rakyat serta agenda pembangunan negeri.
“Alhamdulillah, bajet kali ini seperti biasa saya rasa ia mesti lebih baik daripada sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, pemukiman itu adalah amalan biasa sebelum pembentangan belanjawan bagi memastikan apa yang diperoleh kerajaan negeri dapat disalurkan kembali kepada rakyat selain memenuhi kos tetap kerajaan termasuk gaji penjawat awam.
Menurutnya, perancangan belanjawan itu meliputi usaha menambah baik pelbagai sektor termasuk pendidikan, ekonomi, kebajikan, infrastruktur dan syiar Islam.
Beliau berkata, Belanjawan Pahang 2027 akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada November ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius kepada bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selaras dengan keperluan industri semasa.
Menurutnya, dalam Belanjawan Pahang 2026, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta untuk memperkukuh TVET negeri termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan lain.
“Kita tidak mahu tunggu peluang datang, baru kita hendak sediakan tenaga kerja. Kita mahu sediakan bakat terlebih dahulu. Apabila pelaburan masuk, industri berkembang dan peluang pekerjaan terbuka, anak-anak Pahang sudah bersedia untuk mengisinya,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan Pahang 2027 dijangka lebih baik appeared first on Utusan Malaysia.






