Baiki ranking penawar duka

21 Aug 2026 • 9:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Baiki ranking penawar duka

PETALING JAYA: Belgium sekali lagi menjadi pengajaran berguna buat skuad hoki lelaki negara apabila Malaysia menutup saingan Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026 dengan kekalahan 3-5 kepada tuan rumah, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan Speedy Tigers mengakhiri kempen kumpulan di tangga tercorot dengan satu mata hasil seri 3-3 menentang Perancis, selain tewas 1-5 kepada Jerman dan 3-5 kepada Belgium.

Keputusan berkenaan turut membawa Malaysia ke Pool H, iaitu kelompok dua pasukan terbawah Kumpulan B dan Kumpulan C untuk menentukan kedudukan akhir kejohanan, dengan anak buah Brendan Carolan dijadual beraksi dalam dua perlawanan di pusingan itu.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih negara, Brendan Carolan melihat kekalahan kepada Belgium dari sudut lebih luas apabila menganggap persembahan anak buahnya menunjukkan beberapa perkembangan positif, terutama selepas sistem pertahanan baharu mula diterapkan.

“Secara keseluruhan ia persembahan yang baik dan kami gembira mendapat keputusan, kerana kami sentiasa mahu mendapatkan keputusan yang positif, selain sudah bekerja keras menerapkan sistem pertahanan baharu.

“Kini kami hanya perlu memperkemaskan perkara kecil yang boleh membuat perbezaan pada tahap ini, terutama ketika berdepan pasukan bertaraf dunia seperti Belgium,” katanya.

Malaysia sebenarnya menunjukkan kemampuan memberi tentangan apabila bangkit menjaringkan tiga gol menerusi Nik Aiman Nik Rozemi, Muhammad Marhan Jalil dan Akhimullah Anuar Esook, namun Belgium kekal tenang untuk mengawal permainan.

Kelemahan mengawal situasi bola mati pula menjadi antara perbezaan utama apabila Tom Boon meledak empat gol termasuk tiga menerusi pukulan sudut penalti, manakala satu lagi jaringan Belgium dijaringkan Thibeau Stockbroekx.

Carolan kini mengalihkan perhatian kepada Pool H dan mengakui Malaysia perlu membuat persiapan rapi selepas calon lawan mereka dikenal pasti, dengan Sepanyol atau Ireland menjadi kemungkinan lawan pertama sebelum satu lagi aksi menentang Afrika Selatan.

“Kami sudah mengenal pasti siapa yang akan kami temui dalam aksi silang dan kami perlu membuat persiapan dengan betul untuk perlawanan itu kerana kami mahu memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

“Saya rasa kami bermain dengan agak baik, tetapi kami perlu memastikan persediaan benar-benar lengkap terhadap siapa sahaja yang berada dalam kumpulan kami supaya kami bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Speedy Tigers akan memulakan cabaran Kumpulan H pada 8 malam ini, dengan mata yang dikutip daripada peringkat kumpulan terakhir turut dibawa ke pusingan berkenaan sebelum dua aksi penentuan kedudukan akhir dimainkan. – UTUSAN

The post Baiki ranking penawar duka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved