hamden18/08/2026 - 11:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Harga rumah 'subsale' atau hartanah pasaran kedua di Malaysia meningkat 2.7% tahun ke tahun (YoY) pada suku kedua 2026 (2Q26) kepada median RM380,000, berbanding RM370,000 setahun lalu, menurut IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata angka itu dijangka terus meningkat sehingga akhir tahun ini.
"Harga median kebangsaan bagi rumah subsale kini RM380,000, meningkat dari RM370,000 tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Angka tersebut merupakan dapatan daripada Laporan Pasaran Rumah Kediaman Subsale IQI Q2 2026 yang merangkumi lebih 230,000 transaksi sejak 2018.
IQI ialah rangkaian ejen hartanah global yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dan merupakan anggota kumpulan proptech global, Juwai IQI.
Hartanah pasaran kedua ialah penjualan semula hartanah sedia ada oleh pemilik individu dan bukannya pembelian terus unit baharu daripada pemaju perumahan.
Pulau Pinang catat kenaikan tertinggi
Menurut Ansari, prestasi harga berbeza mengikut negeri, dengan Pulau Pinang mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 17.1% kepada median RM480,000.
Kenaikan itu bagaimanapun didorong perubahan dalam komposisi rumah yang dibeli.
Kuala Lumpur menyusul dengan peningkatan median harga sebanyak 12.8%, manakala Sarawak dan Johor masing-masing mencatat pertumbuhan 10.3% dan 8.3%.
Tiga Negeri Catat Penurunan
Harga rumah subsale menurun di Melaka, susut sedikit di Selangor, manakala Perak kekal tidak berubah.
Dari segi kemampuan, rumah berharga sehingga RM250,000 menyumbang hampir satu perempat daripada jumlah pembelian pada 2Q26.
Kira-kira tujuh daripada 10 transaksi pula melibatkan hartanah berharga RM500,000 atau kurang.
Ansari berkata segmen paling aktif ialah julat harga RM250,001 hingga RM500,000, yang menjadi pilihan utama kebanyakan keluarga.
“Ini bermakna majoriti besar pembelian masih berada dalam kemampuan bajet isi rumah biasa.
“Berbanding setahun lalu, campuran dari segi kemampuan pada asasnya tidak berubah, menunjukkan bekalan yang mencukupi dan konsisten pada titik harga yang boleh dicapai,” katanya.
Sementara itu, segmen premium kekal sebagai sebahagian kecil daripada pasaran.
Hanya 6% transaksi melibatkan hartanah berharga antara RM750,001 hingga RM1 juta, manakala 10% transaksi adalah bagi hartanah bernilai lebih RM1 juta.
Pembeli mewah semakin aktif di Kuala Lumpur
Dalam perkembangan yang menarik, pembeli hartanah mewah dilihat semakin aktif di Kuala Lumpur pada suku kedua.
Ansari berkata transaksi rumah bernilai RM4 juta dan ke atas meningkat 50% berbanding setahun lalu.
Peningkatan transaksi bernilai tinggi itu turut menyebabkan harga purata rumah di Kuala Lumpur meningkat 52% kepada RM1,203,971.
Bagaimanapun, beliau berkata angka purata perlu dilihat dengan berhati-hati kerana ia mudah dipengaruhi oleh sebilangan kecil transaksi bernilai tinggi.
“Ini sebabnya kami turut bergantung kepada median harga untuk mendapatkan gambaran pasaran yang lebih lengkap,” katanya.
Pasaran dijangka lebih kukuh pada separuh kedua
Bagi separuh kedua 2026, IQI menjangkakan jumlah transaksi meningkat manakala harga rumah terus naik secara sederhana, susulan lebih banyak bekalan baharu memasuki pasaran.
Rumah mampu milik dijangka kekal sebagai pilihan paling popular, manakala hartanah mewah akan terus menyumbang sebahagian kecil tetapi penting daripada keseluruhan pasaran.
Ansari berkata keadaan pasaran pekerjaan dan permintaan pengguna dijangka membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi sekitar 5%, cukup untuk menyokong pasaran perumahan tanpa memberikan tekanan kepada Bank Negara Malaysia untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Keadaan pembiayaan yang stabil merupakan antara tonggak yang menyokong pasaran hartanah,” katanya.
Johor dijangka terus mengatasi negeri lain
Dari perspektif negeri, Johor dijangka terus mencatat prestasi lebih baik, didorong oleh perkembangan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan pelancaran Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS) Link yang semakin hampir.
Menurut Ansari, kedua-dua perkembangan tersebut dijangka memberikan dorongan tambahan kepada pasaran hartanah Johor dengan meningkatkan jumlah transaksi dan harga rumah. - DagangNews.com






