‘Bella dan Syed Saddiq buat saya percaya cinta sejati wujud’

EntertainmentLifestyle
11 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Bella dan Syed Saddiq buat saya percaya cinta sejati wujud’

PETALING JAYA – Tumpang bahagia melihat Bella Astillah dan Syed Saddiq diijabkabulkan semalam, pelakon Nadia Brian mengakui momen indah pasangan itu menyuntik kembali keyakinannya terhadap kewujudan cinta sejati, sekali gus menyemarakkan harapan untuk turut menemukan kebahagiaan dalam percintaan.

Ujar Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, perjalanan cinta setiap individu berbeza dan kegagalan dalam hubungan lalu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menutup hati daripada menerima kehadiran insan baharu.

“Selepas melihat Bella Astillah dan Syed Saddiq berkahwin, saya percaya cinta sejati itu memang wujud. Masih ada lelaki baik, bertanggungjawab dan mampu membahagiakan pasangan mereka.

“Ada orang kurang bernasib baik dalam percintaan, tetapi itu tidak bermakna kita akan terus gagal selama-lamanya. Pasti ada pelangi selepas hujan, cuma cepat atau lambat sahaja waktunya.

“Paling penting, kita sebagai wanita perlu tahu meletakkan nilai diri, sentiasa memperbaiki diri dan berusaha mengatasi kekurangan. Insya-Allah, perkara baik pasti akan datang pada waktu tepat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon drama Bisik Asmara itu, setiap ujian dan kegagalan dalam percintaan perlu dijadikan pengalaman berharga untuk membentuk diri menjadi insan lebih matang, kuat serta bijak menilai pasangan.

Katanya, kebahagiaan rakan-rakan di sekeliling turut memberikan suntikan semangat kepadanya untuk terus mempercayai aturan hidup, meskipun belum bertemu insan tepat untuk dijadikan teman sehidup semati.

“Saya juga berharap suatu hari nanti dikurniakan kebahagiaan dan dipertemukan dengan jodoh tepat, seorang lelaki yang mampu membimbing, mendidik serta saling melengkapi antara satu sama lain.

“Melihat kebahagiaan rakan-rakan lain memberi saya harapan bahawa Allah pasti sudah merancang jalan cerita terbaik untuk setiap daripada kita. Apa yang penting, jangan pernah hilang kepercayaan terhadap kebaikan dan kasih sayang,” ujarnya.

Semalam, pasangan popular dengan julukan BASS itu selamat disatukan sebagai suami isteri menerusi sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi dalam sebuah majlis pernikahan penuh bermakna.

Dalam majlis berkenaan, Syed Saddiq menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada Bella, manakala pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang.

Antara hantaran mencuri perhatian termasuk emas berbentuk Gunung Kinabalu, pakej umrah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 serta sebuah basikal. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Bella dan Syed Saddiq buat saya percaya cinta sejati wujud’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved