
PETALING JAYA: Teka-teki tarikh perkahwinan terjawab apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi, Bella Astillah pada 10 Oktober depan.
Menurut Syed Saddiq, 34, majlis istimewa itu akan berlangsung di Menara Merdeka Maybank dengan konsep serba putih dan berunsurkan Islamik atas permintaan keluarga.
Majlis berkenaan juga bakal mencipta sejarah apabila menjadi majlis perkahwinan pertama yang diadakan di tingkat 118 pencakar langit berkenaan.
“Saya terhutang budi kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan dan menyampaikan nasihat. Saya memang baca dan ambil secara serius.
“Kalau boleh, memang hendak kahwin lebih awal. Tetapi ini yang paling awal kami boleh buat persediaan. Oktober ialah bulan yang akan kami memulakan hidup baharu,” katanya menerusi program khas MeleTOP bersama Nabil Ahmad dan Namie, semalam.
Tidak hanya itu, majlis persandingan turut akan diadakan pada bulan sama, termasuk di tempat kelahiran pasangan itu iaitu Muar dan Sabah.
Sempena pengumuman rasmi itu, Syed Saddiq turut memuat naik video khas di media sosial yang memaparkan dirinya dan Bella saling berbalas kata mengenai impian mereka untuk melangkah ke alam rumah tangga.
Dalam video tersebut, Bella mengenakan baju kurung berselendang putih, manakala Syed Saddiq segak berbaju Melayu sedondon dengan berlatarbelakangkan keindahan alam.
“Saya tidak mencari yang sempurna, cukuplah seseorang yang setia sampai bila-bila,” kata Bella dalam video berkenaan.
Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam satu majlis tertutup di ibu negara. -UTUSAN
The post Bella, Saddiq nikah 10 Oktober, majlis kahwin pertama di Menara Merdeka Maybank appeared first on Utusan Malaysia.






