'Belum ada parti berani sahkan kerjasama PRN Melaka' - Adam Adli

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Belum ada parti berani sahkan kerjasama PRN Melaka' - Adam Adli
Adam Adli

MELAKA - Belum ada parti politik yang berani mengesahkan secara terbuka bentuk kerjasama atau gabungan yang bakal dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, situasi itu berlaku kerana keputusan pilihan raya di negeri berkenaan sukar dijangka berdasarkan angka dan keputusan pilihan raya sebelum ini.

"Kalau kita merujuk kepada mana-mana kenyataan pemimpin parti-parti politik yang bakal bertanding di Melaka, khususnya parti-parti utama, tidak ada satu pun yang berani memberikan jawapan sekarang.

"Tak ada siapa pun berani cakap, sudah diputuskan kita bersama dengan orang ini, sudah diputuskan kita bersama dengan orang ini.

"Sebab realitinya, angka di negeri Melaka ini dari segi keputusan pilihan raya, susah untuk dibaca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Cabang Hang Tuah Jaya pada Sabtu.

Justeru Adam Adli menggesa akar umbi PKR supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kekuatan parti sehingga berada pada tahap maksimum sebelum memikirkan strategi atau bentuk kerjasama politik dengan pihak lain.

"Kalau orang nak buat kerjasama politik dengan kita, kalau ada orang nak berlawan dengan kita, apa sekalipun dia akan tengok dahulu kekuatan kita sendiri.

"Kalau kita lemah, nak kawan pun dia tak nak, nak lawan pun dia gelak sahaja. Tapi kalau kita kuat, nak lawan dia ketar lutut, nak berkawan pun dia akan cuba-cuba,” katanya.

Tambah beliau, akar umbi juga dinasihatkan supaya tidak terlalu memikirkan strategi pihak lawan, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu dalaman parti yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Banyak spekulasi dan banyak pendapat di luar sana. Masing-masing akan cuba memasang cita-cita, impian dan ada kepentingan. Ini dunia politik.

"Tetapi yang paling mustahak, adakah jentera kita sudah bersedia? Apakah perselisihan itu telah kita uruskan? Adakah perpecahan dalaman kita sebelum ini, yang tercetus daripada pemilihan dan sebagainya, sudah kita selesaikan? Itu yang perlu diutamakan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved