PRN Melaka: PH ambil pendirian terbuka, sedia gerak solo

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 1:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: PH ambil pendirian terbuka, sedia gerak solo

GOMBAK: Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian terbuka menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bergerak solo sekiranya rundingan dengan parti lain menemui jalan buntu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kepemimpinan parti perlu diberikan ruang untuk meneliti sebarang kemungkinan terbaik termasuk bergerak solo sekiranya rundingan bersama Barisan Nasional (BN) gagal.

Katanya, masih terdapat masa untuk menilai keadaan semasa sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan di meja rundingan.

“Masih ada masa, kita tunggu keadaan. Saya bukan dalam kedudukan untuk membuat keputusan.

“Jadi, saya diminta untuk berbincang, maka saya okay, mari kita bincang. Tapi kalau tidak ada orang untuk berbincang, macam mana? Kita teruskan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Aspirasi Anak Muda Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini hari ini.

Terdahulu Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, PH mungkin bergerak solo pada PRN Melaka sekiranya rundingan kerjasama dengan BN gagal.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan, penyertaan dalam pilihan raya adalah perniagaan utama (main business) bagi mana-mana parti politik dan ia akan terus disertai menerusi pelbagai kaedah strategik yang difikirkan berkesan.

Bagaimanapun katanya, landskap politik kini disifatkan sebagai ‘mencair’ memandangkan setiap parti bebas menentukan haluan serta cara tersendiri dalam usaha meraih sokongan daripada rakyat.

“Keadaan sekarang agak ‘mencair’ dan masing-masing boleh menentukan cara yang tersendiri untuk mendapat sokongan rakyat dan ini perlu untuk penilaian strategik setiap parti.

“Contohnya BN dengan Pas sekarang sudah bekerjasama. Dulu tuduh menuduh, siap kafir mengkafirkan. Dulu jahat sangat Zahid, 47 kes. Sekarang hilang dah, suci murni, masuk syurga sama-sama,” katanya. – UTUSAN 

The post PRN Melaka: PH ambil pendirian terbuka, sedia gerak solo appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved