PH Melaka sedia gerak solo jika rundingan dengan BN gagal

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 9:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH Melaka sedia gerak solo jika rundingan dengan BN gagal

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mungkin bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) gagal.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, buat masa ini komunikasi antara parti berlangsung namun rundingan rasmi berhubung bentuk kerjasama dan pembahagian kerusi masih belum dimulakan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Raya PH yang dipimpin Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah diberi amanah memperincikan bentuk kerjasama, strategi serta formula termasuk agihan kerusi bersama BN.

“Semua parti di Melaka sedang berkomunikasi antara satu sama lain. Tidak boleh dinafikan perbincangan itu wujud. UMNO bincang dengan PH, bincang dengan PN dan sebagainya.

“Namun setakat ini tidak ada rundingan rasmi berlaku dan kita menanti apa sahaja keputusan muktamad. Jika PH gagal dalam rundingan dengan BN, kami akan bergerak solo,” katanya selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Cabang Hang Tuah Jaya di Taman Bukit Piatu, di sini malam tadi.

Hadir sama, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Adam Adli berkata, PH mempunyai persediaan tersendiri untuk menghadapi PRN termasuk pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Katanya, susunan berkenaan bagaimanapun masih bersifat persediaan dan boleh berubah sekiranya berlaku pembentukan kerjasama lebih luas atau sebaliknya.

“Persetujuan itu hanya dalam PH. Kalau berlaku gabungan yang lebih luas, lebih besar, mungkin akan ada perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, proses pemilihan calon bagi PKR Melaka telah diselesaikan di peringkat pimpinan negeri dan cabang, dengan senarai berkenaan kini menunggu proses di peringkat Pusat.

“Bagi PKR kami sudah selesai dalam kalangan pimpinan negeri dan pimpinan cabang. Tinggal proses di peringkat Pusat sahaja sebelum presiden membuat ketetapan calon yang layak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PKR Hang Tuah Jaya akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan Telok Mas dalam PRN Melaka nanti. – UTUSAN

The post PH Melaka sedia gerak solo jika rundingan dengan BN gagal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved