
SERDANG: Rundingan rasmi mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan mana-mana gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan diputuskan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat berhubung perkara itu telah diberikan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk memperincikan maklumat berkaitan data serta perkembangan politik negeri berkenaan.
“Kami sudah menyerahkan perkara ini kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya fikir beliau akan mengadakan perbincangan rasmi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan seluruh Biro Politik UMNO Melaka dan mereka telah membuat pembentangan kepada kami. Perkara ini kemudiannya akan dibawa ke Majlis Tertinggi untuk kami meneliti serta membincangkan perincian data yang diperoleh melalui war room Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Laman Usahawan Desa di Laman Tiba 1 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menyerahkan kepada kepimpinan UMNO Melaka untuk menentukan hala tuju perbincangan dan rundingan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi PRN.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat MKT UMNO bersetuju supaya kepemimpinan UMNO negeri mengadakan perbincangan dengan parti-parti yang berminat untuk menjalinkan kerjasama menjelang pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengesahkan proses perundingan belum berjalan sebaliknya hanya perbincangan tidak rasmi antara gabungan yang sudi menjalinkan kerjasama dengan BN. – UTUSAN
The post Rundingan rasmi kerjasama BN hanya selepas DUN Melaka bubar appeared first on Utusan Malaysia.






