
PETALING JAYA – Belum sempat menyaksikan akad nikah disahkan, seorang lelaki yang menjadi saksi kepada pengantin meninggal dunia ketika majlis pernikahan pasangan itu sedang berlangsung di sebuah masjid.
Perkara itu dikongsikan oleh jurugambar yang bertugas pada majlis berkenaan menerusi hantaran di Threads hari ini.
Menurut jurugambar itu, pengalaman berkenaan merupakan antara detik paling menyedihkan sepanjang dia menjalankan tugas merakam majlis perkahwinan.
“Selama jadi photographer (jurugambar), hari ini hari yang paling sedih. Seorang saksi kepada pengantin lelaki meninggal sebelum sempat nak sahkan akad pengantin tersebut,” katanya.
Individu itu memaklumkan, suasana yang pada awalnya dipenuhi kegembiraan dan debaran menantikan detik akad nikah bertukar sekelip mata menjadi hiba selepas kejadian tersebut.
“Momen yang mulanya gembira, sekelip mata bertukar jadi hiba dan sedih.
“Semoga pak cik pengantin ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu di ruangan komen, pengguna @iraa_ramli mendakwa dia berada di lokasi kejadian dan menjelaskan bahawa arwah merupakan bapa saudara kepada pengantin lelaki.
“Saya ada masa majlis, pak cik tu bapa saudara pengantin lelaki. Asalnya jadi saksi untuk nikah tu, tapi tak sempat,” katanya.
Wanita itu turut menjelaskan bahawa akad nikah pasangan tersebut tetap diteruskan selepas urusan berkaitan pengesahan kematian lelaki berkenaan selesai.
Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar urusan majlis dan keluarga pengantin dipermudahkan.
“Insafnya baca. Sungguh lah hidup kita ini dekat sangat dengan kematian. Al-Fatihah buat pak cik pengantin,” kata @kakak_munge.
“Jodoh dengan ajal, jodoh dengan akad nikah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Salam takziah buat seluruh keluarga arwah pak cik,” komen Fateennurillia. – KOSMO! ONLINE
The post Belum sempat akad disahkan, saksi pengantin lelaki meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.





