Belum wujud perbincangan kerjasama PH-Bersatu

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 1:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belum wujud perbincangan kerjasama PH-Bersatu

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan boleh menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ia dapat menjamin kestabilan politik dan membawa manfaat kepada rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun setakat ini belum wujud sebarang perbincangan rasmi atau serius berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dengan Bersatu.

Beliau berkata, perkara itu hanya timbul dalam bentuk pandangan atau gurauan politik ketika sesi persidangan Dewan Rakyat selain spekulasi susulan perkembangan penjajaran politik di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Oh, tidak ada lagi, masih tidak ada. Tidak ada lagi perbincangan serius ataupun perbincangan terbuka ataupun perbincangan rasmi, yang ada mungkin usik-mengusik ketika sesi Dewan dan sebagainya. PH mempunyai kekuatannya yang sendiri untuk mentadbir.

“Kalau apa-apa berlaku dalam penjajaran di peringkat Persekutuan tetapi kerjasama dengan mana-mana pihak, bukan sahaja dengan Bersatu malah dengan PN pun boleh difikirkan kalau akhirnya, saya sebut tadi, prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat.

“Tapi kita kena tengok jugalah secara rasional tentang tempoh sebelum pilihan raya,” katanya semasa sidang akhbar Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC II) di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu juga berkata, setakat ini perkara berkenaan masih pada peringkat idea atau pandangan pihak luar yang tercetus susulan beberapa perkembangan politik di peringkat nasional dan negeri.

“Yang ada baru idea luar ataupun pandangan. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa penjajaran politik di peringkat nasional ataupun di peringkat negeri-negeri, PRN yang berlakulah.

“Jadi terbuka perbincangan tersebut dan menimbulkan spekulasi. Jadi banyak bomoh politik ini buat spekulasi. Harap-harap bomoh itu jadi ke tak jadi, kita doa-doalah,” katanya.

Mengulas lanjut kemungkinan kerjasama berkenaan, Amirudin berkata, dua prinsip utama yang perlu menjadi asas ialah kestabilan politik dan kemakmuran rakyat.

“Oh, itu tak boleh dibincangkan lagi. Kita pun tak boleh nak sebutlah. Tapi prinsip dia dua, kestabilan politik dan juga kebaikan rakyat atau kemakmuran rakyat.

“Ini dua prinsip harus dijadikan asas kalau ada diskusi ataupun perbincangan ke arah tersebut,” katanya.

“Dan sudah pasti saya tidak boleh membuat keputusan sendirian kerana saya turut bertanggungjawab kepada kepimpinan di peringkat Pusat. Jadi kalau ada perbincangan itu, saya akan bawakan di peringkat pusat,” katanya. – UTUSAN

The post Belum wujud perbincangan kerjasama PH-Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved