PH, BN bertemu teliti hala tuju PRN Melaka

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PH, BN bertemu teliti hala tuju PRN Melaka

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh satu atau dua hari bagi meneliti hala tuju kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas BN sebelum sebarang perkara dibawa kepada kepimpinan PH.

“BN belum ada lagi, tetapi saya akan bertemu dengan beberapa pimpinan dalam masa terdekat secara tak rasmi untuk mengetahui arah tujunya ke depan.

“Kita bertindak sebagai satu pasukan dan laporkan kepada kepimpinan PH sesuai dengan posisi saya selaku Pengarah Pilihan Raya PH.

“Tak ada lagi pertemuan, tetapi saya akan adakan perbincangan secara tidak rasmi dalam satu atau dua hari untuk melihat respons dan maklum balas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan dan penyerahan geran penyelidikan dan Inovasi pembangunan negeri Selangor, di sini hari ini.

Mengulas pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang dilihat kurang menyambut kemungkinan kerjasama itu, Amirudin berkata, PH turut mengambil kira pandangan kepimpinan BN termasuk Ketua Menteri Melaka yang lebih tinggi kedudukannya.

“Tapi terpulang kita tak ada masalah untuk hadapi dan situasi keadaan seperti sebelum-sebelum ini. Tetapi kita tengok keadaan itu, kalau ada keperluan, kita berbincang. Ada keperluan untuk bertembung, kita bertembung,” jelasnya.

Menurut beliau, sebarang keputusan akhirnya perlu mengambil kira aspek kebolehmenangan (winnability) selain kepentingan rakyat.

“Kita nak tengok apa yang berlaku. Ada orang marahlah kalau kita bincang, ada juga orang marah kalau sebaliknya. Jadi saya jumpa dia dulu. Namanya bukan perbincangan, ia adalah pertemuan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan pihaknya bersedia membuka pintu rundingan secara rasmi kepada mana-mana pihak yang berhasrat membentuk kerjasama, namun ruang rundingan yang diberikan tidak memberi sebarang jaminan automatik. – KOSMO! ONLINE

The post PH, BN bertemu teliti hala tuju PRN Melaka appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved