
KLANG: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan dalam satu serbuan dekat sebuah bengkel kenderaan lama dan terpakai dekat Bukit Kapar, di sini pada Jumaat lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan sebuah van jenazah yang dicuri di Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, bengkel berkenaan diserbu selepas pemeriksaan dijalankan susulan dakwaan kehilangan van jenazah tersebut.
“Dalam serbuan pada pukul 7.20 malam itu, hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis merampas beberapa buah kenderaan termasuk sebuah van jenazah dipercayai dicuri di Subang Jaya.
“Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit yang berusia 20-an merupakan pekerja bengkel berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekenhend 1946.
“Kes disiasat oleh Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu pejabat Daerah (IPD) Klang Utara, Sarjan Zabirin Mohd. Kamaron. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh tampil ke hadapan atau menghubungi 016-5033572 bagi mebantu siasatan,” ujarnya.
Minggu lalu kehilangan sebuah van jenazah jenis Mercedes Vito milik Afiz Ayub Foundation dekat tempat letak kereta ketika sedang dibaiki dekat sebuah bengkel di Shah Alam.
Afiz Ayub dalam hantaran Facebooknya pada Jumaat lalu memaklumkan sebelum kehilangan kenderaan tersebut, sebuah rim bahagian belakang didakwa dicuri terlebih dahulu oleh ‘mat dadah’.
Bagaimanapun, ketika dia datang ke bengkel berkenaan mendapati van yang pernah digunakan untuk membantu mangsa Covid-19 pada 2021 itu hilang ketika pemilik bengkel pulang ke Johor.
Namun, pada 7 Ogos lalu, Afiz memaklumkan kenderaannya itu sudah pun ditemui dekat sebuah bengkel pelupusan kenderaan dekat Bukit Kapar dalam keadaan yang sudah dileraikan pada bahagian enjin. – UTUSAN
The post Lelaki Pakistan pekerja ‘kedai potong’ ditahan polis appeared first on Utusan Malaysia.






