Bergaduh isu parkir, dua lelaki warga China ditahan

20 Nov 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bergaduh isu parkir, dua lelaki warga China ditahan
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan sekumpulan individu bergaduh di hadapan sebuah kedai serbaneka di sini pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham berhubung parkir kenderaan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Connaught di sini, bertukar kecoh apabila beberapa lelaki dipercayai bergaduh pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan dua lelaki warga China pada jam 5 pagi.

"Kedua-dua suspek berusia lewat 20-an dan awal 30-an itu ditahan di kawasan Jalan 9, Taman Len Seng, di sini.

"Kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum dibawa mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Rosdi berkata, semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati beberapa individu lain turut terbabit, manakala senjata yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai batang besi.

"Kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah dan direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau benda berbahaya.

"Polis turut giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved