Beri Anwar peluang terus terajui kepemimpinan negara

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beri Anwar peluang terus terajui kepemimpinan negara

MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi peluang meneruskan kepemimpinan bagi penggal kedua sebagai Perdana Menteri supaya agenda reformasi dapat diteruskan khususnya dalam usaha membina struktur gaji yang lebih adil untuk pekerja.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kadar upah pekerja meningkat seiring dengan pe­ningkatan produktiviti.

Beliau berkata, meskipun produktiviti bertambah, bahagian pendapatan yang dibawa pulang pekerja masih belum menunjukkan peningkatan sewajarnya.

“Setiap pekerja yang memberi kita makanan, yang menghidangkan kita, yang jaga kita sepanjang kongres, peratus gaji yang mereka bawa balik rumah, take-home salary adalah hanya 33 peratus.

“Ini berlaku walaupun pro­duktiviti bertambah. Mana pekerja tak kecewa? Tak rasa bertambah. Maka penggal kedua nanti, biiznillah, membolehkan Datuk Seri Anwar meneruskan reformasi struktural.

“Mahu tidak mahu, kalau hendak pastikan peratusan naik, ia memerlukan dasar-dasar yang lebih mendalam khusus untuk membina struktur gaji yang lebih adil dan memastikan kadar upah meningkat selari dengan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini semalam.

Nurul Izzah berkata, pertumbuhan ekonomi yang lebih besar juga perlu disertai pengagihan yang adil supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Katanya, pertumbuhan ekonomi bukan pengganti kepada keadilan pengagihan, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiring.

“Kek yang lebih besar, dia bagi kita lebih banyak ruang, termasuk kepada orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat untuk diagihkan buat semua. Tapi ia juga asas kepada kenaikan upah,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi juga perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan, selain membuka ruang yang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), wanita serta anak muda untuk menyertai ekonomi arus perdana.

“Bagaimana hendak pastikan rakyat feel good dia merasa bahawa semua ini berkesan?

“Kerana bila pekerjaan lebih banyak, ada maknanya, ada ruang untuk SME dan lebih banyak peluang untuk wanita dan anak-anak muda memasuki ekonomi arus perdana,” katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah menegaskan, beliau akan terus bersama-sama mendukung perjuangan reformasi meskipun bakal memikul amanah menerusi ruang yang berbeza.

Katanya, jawatan bukan satu-satunya wadah untuk berkhidmat kerana setiap amanah mempunyai tempohnya manakala perjuangan perlu diteruskan dalam pelbagai bentuk.

“Insya-Allah, Keadilan akan terus memikul amanah. Saya juga akan terus memikul amanah melalui ruang yang berbeza tetapi saya akan bergerak seiring dengan tujuan yang sama.

“Saya Nurul Izzah dan saya akan kekal sebagai Nurul Izzah, anak Reformasi 1998,” katanya. – UTUSAN

The post Beri Anwar peluang terus terajui kepemimpinan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved