
MELAKA: Satu penggal pentadbiran tidak memadai untuk membetulkan segala kerosakan yang terbentuk sejak puluhan tahun lalu.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, perjuangan reformasi tidak seharusnya terhenti hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memegang jawatan Perdana Menteri.
Ia sebaliknya perlu diteruskan bagi memastikan perubahan institusi dan pengukuhan ekonomi negara dapat dilaksanakan.
“Reformasi tidak selesai hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Reformasi mesti diteruskan dengan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri.
“Satu penggal tidak cukup untuk membetulkan segala kerosakan yang mengambil masa puluhan tahun untuk terbentuk,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, kesinambungan reformasi memerlukan masa, kestabilan dan keberanian politik, selain usaha berterusan memperkukuh ekonomi serta meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bukan sekadar menentukan jumlah kerusi yang dimenangi PKR sebaliknya menjadi penentu sama ada agenda perubahan yang dimulakan kerajaan diteruskan atau dihentikan.
“Kalau kita mahu kerja-kerja ini diteruskan, kita mahu reformasi institusi diteruskan, kita mahu ekonomi terus diperkuat, kita mahu kehidupan rakyat terus diangkat dan semua itu memerlukan masa, kestabilan dan keberanian politik.
“Pilihan raya akan datang bukan soal Keadilan menang berapa kerusi. Ini soal sama ada perjalanan perubahan yang kita mulakan ini diteruskan atau dihentikan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, PKR tidak mempertahankan kuasa semata-mata kerana takut kehilangannya, sebaliknya mahu memastikan mandat yang diberikan rakyat digunakan untuk melaksanakan perubahan.
“Kita bukan mempertahankan kuasa kerana kita takut kehilangan, tapi kita mempertahankan mandat kerana kita tahu apa yang kita boleh lakukan dengan mandat ini.
“Kepada seluruh keluarga Keadilan, saya menghargai keikhlasan untuk terus bersama kita dan kita juga mahu memastikan Keadilan terus membina kekuatannya kerana kita tidak mahu masa depan reformasi ditentukan oleh percaturan orang lain. Kita mahu rakyat yang menentukan,” katanya.
Fadhlina turut memberi peringatan kepada pihak yang didakwa sudah mula berkira-kira untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan supaya tidak terlalu awal membuat perancangan.
“Kalau hari ini ada pihak yang sudah mula berkira-kira bila nak mengambil tempat kita, pesan kepada mereka: Sabar dulu! Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya!
“Kerja kita belum selesai, perjuangan kita belum selesai dan saudara-saudari, kita belum selesai memimpin negara ini. Kali ini kita mempunyai rekod, kita mempunyai kerajaan, kita mempunyai Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Satu penggal tidak cukup hapus kerosakan puluhan tahun’ appeared first on Utusan Malaysia.






