Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan diminta memberikan hak bekerja kepada pelarian dan pencari suaka di negara ini kerana langkah itu dapat membantu menangani pelbagai masalah sosial membabitkan golongan berkenaan.

Selain menyelesaikan isu kekurangan pekerja, langkah itu juga berpotensi memberi nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM3 bilion.

Pemberian hak bekerja kepada golongan berkenaan turut dapat mengurangkan aliran keluar wang negara melalui kiriman wang pekerja asing.

Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan aliran keluar sebanyak RM32.6 bilion, manakala anggaran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), termasuk melalui saluran tidak rasmi, mencecah sekitar RM70 bilion.

Pada masa ini, Malaysia menempatkan lebih 200,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan majoritinya dikategorikan sebagai ‘pendatang tanpa izin’ atau ‘tanpa dokumen’ di bawah undang-undang domestik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Monash Malaysia, Hamimatunnisa Johar berkata, berdasarkan kajian dilakukan, kehadiran pelarian jika dimanfaatkan sebagai sumber tenaga kerja mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilionKatanya, pengiktirafan hak bekerja tidak akan merampas mata pencarian rakyat tempatan kerana sektor ekonomi ketika ini amat memerlukan tenaga kerja.

Sebaliknya, katanya, kehadiran mereka wajar dinilai semula dari sudut potensi ekonomi secara pragmatik kerana langkah memanfaatkan pelarian yang sedia menetap di negara ini menawarkan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak tanpa menjejaskan pasaran buruh tempatan.

“Pengambilan pekerja asing baharu menuntut kos tinggi merangkumi bayaran levi kemasukan, caj perkhidmatan agensi dan kos logistik. Sebaliknya, golongan pelarian menawarkan penyelesaian lebih praktikal dan mudah diuruskan kerana mereka sudah berada di dalam negara, sekali gus menjimatkan kos pengambilan tenaga kerja luar baharu.

“Walaupun pelarian buat masa ini tidak tertakluk kepada levi kemasukan seperti pekerja asing, mereka secara berterusan berbelanja di pasaran tempatan dan merangsang ekonomi domestik.

“Langkah ini juga berupaya membendung pengaliran wang ke luar negara sebagaimana anggaran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), hampir 2.5 juta pekerja asing membawa keluar sehingga RM70 bilion setahun termasuk menerusi saluran tidak rasmi, sekali gus menjadi bebanan besar kepada ekonomi negara.

“Sebaliknya, penggunaan tenaga kerja pelarian berpotensi mengurangkan angka ini kerana kadar remitan mereka dipercayai jauh lebih rendah, biarpun kajian mendalam masih diperlukan untuk mengesahkan realiti tersebut.

“Sekiranya mereka dibenarkan bekerja secara sah, mereka bukan sahaja berupaya menyumbang kepada hasil negara menerusi cukai pendapatan, malah mengurangkan kebergantungan kita terhadap pekerja asing baharu,” katanya di sini semalam.

Kajian bebas berkenaan ‘Kesihatan Global & Kesihatan Populasi Terpinggir’ dijalankan beliau bersama empat pensyarah lain, Felo Atlantik untuk Ekuiti Kesihatan di Asia Tenggara, Raudah M. Yunus; Pensyarah Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Tharani Loganathan; Pensyarah Kanan Universiti Monash Malaysia, Siti Noraida Habibullah serta Perunding Pakar Endokrinologi Hospital Pakar Regency, Luqman Ibrahim.

Sementara itu, Raudah berkata, pemberian hak bekerja secara sah kepada pelarian berdaftar dijangka menyumbang melebihi RM3 bilion kepada KDNK tahunan menerusi peningkatan kuasa beli tempatan.

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion
RAUDHAH YUNUS

Katanya, impak ekonominya jauh lebih meluas, termasuk menurunkan kos operasi perniagaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi baharu dengan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan baharu khusus untuk warganegara tempatan.

“Kemasukan tenaga kerja ini bersifat saling melengkapi. Penglibatan pelarian bukanlah untuk menggantikan atau menafikan hak pekerja tempatan, sebaliknya mengisi jurang sektor tenaga kerja kasar.

“Ini sekali gus membolehkan warga tempatan beralih ke peranan teknikal, penyeliaan atau pengurusan yang menawarkan pendapatan lebih baik,” katanya.

Katanya, isu persaingan pasaran buruh tempatan bukan sahaja tidak menjejaskan rakyat, malah memberi nilai tambah positif dalam meningkatkan taraf hidup pekerja tempatan.

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion
THARANI LOGANATHAN

Tharani berkata, pengiktirafan hak bekerja ini membolehkan kerajaan menjana hasil baharu menerusi cukai pendapatan, sumbangan majikan dan levi.

Katanya, langkah itu menyokong agenda kemanusiaan negara tanpa perlu bergantung kepada dana kebajikan awam.

“Dalam jangka masa panjang, sekiranya akses pendidikan turut disediakan, sumbangan mereka kepada KDNK diunjurkan melonjak melebihi RM6.5 bilion setahun menjelang 2040, dengan hasil cukai tahunan melebihi RM250 juta.

“Oleh itu, kerajaan wajar mengambil langkah praktikal untuk mengiktiraf hak bekerja golongan ini secara rasmi demi memaksimumkan potensi mereka dan memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman berkata, buat masa ini, tiada saluran undang-undang rasmi yang membenarkan warga pelarian bekerja.

Namun, katanya, ramai pelarian yang tetap bekerja dalam sektor tidak rasmi di mana produktiviti adalah terhad dan mereka terdedah kepada eksploitasi serta persekitaran kerja yang tidak selamat dan mencabar.

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion
LUQMAN IBRAHIM

“Tanpa perlindungan insurans atau undang-undang, mereka terdedah kepada risiko kemalangan di tempat kerja, masalah pernafasan akibat pendedahan kepada bahan kimia atau habuk, serta penyakit berkaitan haba seperti kelesuan dan strok haba berpunca daripada terdedah di bawah terik matahari dalam jangka masa yang lama,” katanya.

Siti Noraida Habibullah pula berkata, dari sudut agama, tuntutan untuk menyantuni dan membela nasib golongan pelarian ini jelas digariskan dalam ajaran Islam melalui panduan al-Quran, disebut dalam Surah Al-Hasyr, ayat 9 yang memuji pengorbanan kaum Ansar menyantuni pelarian Mekah.

Image from: Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion
SITI NORAIDA HABIBULLAH

Katanya, ia sekali gus mengingatkan kita agar tidak membiarkan kebimbangan terhadap kesusahan menghalang kita daripada membela sesama manusia demi meraih kejayaan di dunia dan akhirat.

“Oleh itu, wajarlah kita membantu dan memberi peluang untuk mereka bekerja, sejajar dengan ajaran agama kita yang sentiasa menuntut kita untuk saling membantu,” katanya. – UTUSAN

_:empty]:hidden">

The post Beri pelarian hak bekerja, tingkat KDNK RM3 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved