
KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini meminta orang ramai memberi ruang kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui fasa kesedihan selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut Rita, masyarakat perlu memahami bahawa di sebalik figura negarawan yang dikenali ramai, Dr. Mahathir ketika ini hanyalah seorang suami yang sedang merindui insan yang menemaninya selama puluhan tahun.
“Berilah Tun ruang untuk berduka. Biarlah Tun menjadi seorang suami yang sedang merindui isterinya.
“Biarkan Tun berdiri di sisi pusara itu dengan tenang. Biarkan Tun berdoa, mengenang dan merindui,” katanya di Threads.
Rita berkata demikian selepas tersentuh melihat keadaan Tun Dr Mahathir yang sugul ketika menziarahi pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini.
Rita turut berharap orang ramai menghormati ruang peribadi bekas Perdana Menteri itu untuk menghadapi kehilangan besar tersebut tanpa sebarang gangguan.
“Bolehkah kita beri Tun sedikit ruang? Ruang untuk diam, ruang untuk mengenang, ruang untuk merindui insan yang dicintainya. Dan ruang untuk berduka sebagai seorang suami. Semoga Allah memelihara dan menguatkan hati Tun,” ujarnya.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir dilaporkan menziarahi pusara Allahyarhamah Dr Siti Hasmah kira-kira pukul 11.05 pagi dan meluangkan masa sekitar 15 minit di pusara berkenaan bersama ahli keluarga.
Lebih menyayat hati, beliau turut dilihat gagal menahan air mata ketika berada di sisi pusara isterinya.
Isnin lalu, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama.
Dr. Mahathir dan Allahyarhamah mendirikan rumah tangga pada 1956 dan melayari kehidupan sebagai pasangan suami isteri selama kira-kira tujuh dekad.
The post Berilah Tun Dr Mahathir ruang untuk berduka sebagai seorang suami – Rita Rudaini appeared first on Utusan Malaysia.






