
KUALA LUMPUR - Ada berita baik menanti, buat semua rakyat hujung bulan ini.
Orang ramai bakal menikmati cuti selama empat hari berturut-turut susulan pertindihan dua cuti umum utama.
Ia bermula dengan cuti umum Hari Wesak yang jatuh pada Ahad, 31 Mei diikuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, 1 Jun, sekali gus memberi laluan kepada cuti gantian pada Selasa, 2 Jun.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi hantaran di Facebook minggu lalu memaklumkan, cuti gantian akan diberikan pada hari berikutnya sekiranya Hari Wesak jatuh pada hari cuti mingguan.
“Namun, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun merupakan cuti wajib bagi pekerja sektor swasta dan tidak boleh digantikan.
“Pekerja yang diarahkan bekerja pada cuti umum pula layak menerima bayaran khas mengikut peruntukan Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memberi ingatan, majikan dan pekerja perlu memahami hak masing-masing, khususnya berkaitan kadar bayaran dan kelayakan bekerja ketika cuti umum.
Dalam masa sama, tempoh berkenaan turut bertepatan dengan cuti pertengahan tahun persekolahan sesi 2026 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 7 Jun, sekali gus memberi peluang kepada seisi keluarga untuk merancang percutian.
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan, tarikh cuti gantian pada 2 Jun boleh dipinda ke hari lain sekiranya mendapat persetujuan awal pekerja.
KESUMA turut memberi peringatan tegas kepada majikan agar mematuhi hak pekerja yang diminta bertugas ketika cuti umum.
Pekerja bergaji RM4,000 ke bawah atau mereka yang tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955 layak menerima bayaran tambahan mengikut kadar ditetapkan.
Majikan yang gagal mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan tindakan. – Getaran, 12 Mei 2026





