Berjaya Food masih rugi RM5.7 juta namun jualan Starbucks Malaysia mula pulih pada 1Q27

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 5:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Berjaya Food masih rugi RM5.7 juta namun jualan Starbucks Malaysia mula pulih pada 1Q27 Image from: Berjaya Food masih rugi RM5.7 juta namun jualan Starbucks Malaysia mula pulih pada 1Q27 liza25/11/2026 - 17:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov – Berjaya Food Berhad (BFood), pengendali rangkaian Starbucks di Malaysia, Brunei dan Iceland masih mencatat kerugian bersih RM5.67 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27), namun jumlah itu susut 63.4% berbanding RM15.50 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pengecilan kerugian itu berlaku selepas kumpulan berjaya memulihkan prestasi operasi dengan mencatat keuntungan operasi RM1.97 juta berbanding kerugian operasi RM4.57 juta pada 1QFY26.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BFood berkata hasil kumpulan meningkat sedikit kepada RM128.54 juta berbanding RM128.25 juta sebelumnya disokong pertumbuhan jualan kedai sedia ada Starbucks di Malaysia serta peningkatan jualan daripada operasi luar negara.

 

Bagaimanapun, kumpulan masih merekodkan kerugian sebelum cukai RM5.64 juta, lebih rendah berbanding RM15.49 juta dalam suku sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Jualan Starbucks Malaysia bantu prestasi operasi

Menurut BFood, peningkatan hasil itu dicapai meskipun kumpulan mengendalikan bilangan kedai yang lebih sedikit di Malaysia sepanjang suku dikaji.

 

Prestasi berkenaan disumbangkan pertumbuhan positif jualan kedai sedia ada Starbucks Malaysia, selain jualan lebih tinggi daripada operasi kumpulan di pasaran luar negara.

 

BFood berkata pemulihan keuntungan operasi turut didorong langkah rasionalisasi kedai dan inisiatif pengurusan kos yang dilaksanakan kumpulan.

 

Selain itu, kerugian sebelum cukai yang lebih kecil turut dibantu kos kewangan lebih rendah serta sumbangan keuntungan daripada usaha sama berbanding kerugian yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi pecahan mengikut pasaran, Malaysia menyumbang hasil RM116.99 juta, diikuti negara Asia Tenggara lain sebanyak RM6.49 juta dan negara Nordik sebanyak RM5.06 juta.

 

Dari segi keputusan operasi, Malaysia mencatat keuntungan RM4.88 juta, manakala operasi di negara Asia Tenggara lain merekodkan kerugian RM2.44 juta. Operasi di negara Nordik pula menyumbang keuntungan RM155,000.

 

Fokus tingkatkan produktiviti kedai, kawal kos

Berbanding suku sebelumnya yang berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan susut 1.1% kepada RM128.54 juta daripada RM130.01 juta, terutama disebabkan bilangan kedai beroperasi yang lebih rendah sepanjang suku dikaji.

 

Bagaimanapun, kerugian sebelum cukai menyusut ketara kepada RM5.64 juta berbanding RM65.10 juta pada suku sebelumnya. Kerugian besar dalam suku terdahulu sebahagian besarnya disebabkan kerugian penjejasan nilai hartanah, loji dan peralatan serta aset hak guna berkaitan kedai yang kurang memberangsangkan.

 

Mengulas prospek, BFood berkata prestasi positif pada suku pertama, khususnya bagi Starbucks Malaysia, merupakan perkembangan menggalakkan dalam perjalanan pemulihan kumpulan menerusi langkah rasionalisasi perniagaan, pengoptimuman kos dan inisiatif pemasaran strategik.

 

Kumpulan akan meneruskan momentum itu dengan meningkatkan produktiviti kedai, merangsang pertumbuhan hasil serta meneruskan usaha mengoptimumkan kos merentasi operasinya.

 

Dalam pada itu, pengurusan kekal memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan dan membina pertumbuhan jangka panjang meskipun berdepan cabaran perniagaan semasa. Lembaga pengarah tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen bagi suku kewangan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved