liza18/11/2026 - 15:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov – Kossan Rubber Industries Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 82.48% kepada RM192.86 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26) namun mengakui industri sarung tangan global masih berdepan lebihan bekalan dan persaingan harga yang sengit.
Kossan berkata, pemulihan industri sarung tangan global masih berlaku secara beransur-ansur berikutan lebihan bekalan berterusan yang memberi tekanan kepada harga jualan purata (ASP).
“Industri turut berdepan ketidaktentuan geopolitik, turun naik kadar pertukaran mata wang serta ketidakstabilan kos bahan mentah, tenaga dan pengangkutan yang boleh mempengaruhi keputusan pembelian pelanggan.
“Menghadapi cabaran itu, Kossan akan meneruskan pelaburan dalam automasi, pendigitalan, peningkatan produktiviti dan pengoptimuman proses bagi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing kos.
“Langkah berkenaan turut disokong pengurusan kos secara berdisiplin, pemantauan perkembangan pasaran serta pengurusan risiko kewangan dan pertukaran mata wang secara berhemat bagi melindungi margin keuntungan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Walaupun berdepan cabaran pasaran, Kossan kekal yakin terhadap prospek jangka panjang industri sarung tangan, disokong permintaan berterusan daripada sektor penjagaan kesihatan, perindustrian dan aplikasi khusus.
Bagi bahagian produk getah teknikal (TRP), kumpulan menjangkakan prestasi stabil pada 2026, dengan permintaan sektor infrastruktur dijangka bertambah baik secara beransur-ansur, manakala sektor automotif dijangka terus berdepan cabaran.
Kossan menjangkakan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY26), sekiranya tiada keadaan luar jangka.
Hasil meningkat 30.71% kepada RM1.71 bilion
Bagi 9MFY26, hasil kumpulan meningkat 30.71% kepada RM1.71 bilion berbanding RM1.31 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan operasi pula meningkat 82.69% kepada RM240.21 juta berbanding RM131.48 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 83.38% kepada RM239.72 juta daripada RM130.72 juta.
Prestasi itu disumbangkan terutamanya bahagian sarung tangan yang mencatatkan peningkatan hasil 34.56% kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.09 bilion sebelumnya.
Bahagian berkenaan turut merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai 98.79% kepada RM207.9 juta daripada RM104.6 juta, didorong harga jualan purata dan jumlah jualan lebih tinggi serta kos pengeluaran lebih rendah hasil peningkatan kecekapan pengeluaran.
Bagaimanapun, peningkatan hasil sebahagiannya diimbangi kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
Bahagian lain turut catat pertumbuhan
Sementara itu, bahagian produk getah teknikal mencatatkan peningkatan hasil 7.31% kepada RM153.2 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 46.38% kepada RM18.3 juta berikutan penghantaran produk bermargin lebih tinggi.
Bahagian bilik bersih (Clean-Room) pula merekodkan peningkatan hasil 19.41% kepada RM90.2 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 40.08% kepada RM13.8 juta, disokong harga jualan purata dan jumlah jualan lebih tinggi serta kos pengeluaran lebih rendah.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), PAT Kossan meningkat 130.19% kepada RM88.05 juta berbanding RM38.25 juta pada suku sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 52.88% kepada RM671.12 juta daripada RM438.98 juta.- DagangNews.com





