MR DIY kurangkan pembukaan kedai baharu, tumpu pulihkan prestasi jualan di cawangan sedia ada – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MR DIY kurangkan pembukaan kedai baharu, tumpu pulihkan prestasi jualan di cawangan sedia ada – Penganalisis Image from: MR DIY kurangkan pembukaan kedai baharu, tumpu pulihkan prestasi jualan di cawangan sedia ada – Penganalisis liza18/11/2026 - 10:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – MR DIY Group (M) Berhad mula mengubah strategi pertumbuhannya daripada bergantung kepada pembukaan cawangan baharu kepada meningkatkan produktiviti serta prestasi jualan kedai sedia ada, susulan tekanan terhadap margin keuntungan dan pertumbuhan jualan kedai sama.

 

Penganalisis berkata perubahan strategi itu menyaksikan kumpulan peruncitan berkenaan mengurangkan sasaran pembukaan kedai baharu bagi tahun kewangan 2026 (FY26) kepada 130 cawangan berbanding 155 cawangan yang disasarkan sebelum ini.

 

BIMB Securities berkata, pengurusan turut mengurangkan sasaran jumlah keseluruhan kedai menjelang 2028 kepada kira-kira 1,800 cawangan berbanding sasaran asal sebanyak 2,000 cawangan.

 

“Langkah itu mencerminkan peralihan daripada strategi pertumbuhan berasaskan peluasan rangkaian kedai kepada peningkatan produktiviti cawangan dan kerja pengubahsuaian premis sedia ada.

 

“Kedai yang menjalani kerja pengubahsuaian telah mencatatkan peningkatan jualan sekitar 3%, manakala program kesetiaan pelanggan MR DIY Club merekodkan lebih 1.2 juta ahli.

 

“Pelaksanaan inisiatif berkenaan penting bagi mengimbangi pertumbuhan pembukaan kedai yang lebih perlahan serta menyokong peningkatan keuntungan kumpulan pada masa hadapan,” kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Bagaimanapun, BIMB Securities berpandangan prestasi jualan kedai sama (SSSG) yang masih negatif dan nilai purata pembelian pelanggan yang belum menunjukkan peningkatan ketara terus menjadi perkara yang perlu diberi perhatian.

 

SSSG MR DIY mencatatkan negatif 3% pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), walaupun menunjukkan penambahbaikan kepada negatif 1.7% bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26), berbanding negatif 3.2% pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih MR DIY susut 6.4% kepada RM127.3 juta walaupun hasil meningkat

 

Pertumbuhan hasil belum diterjemahkan kepada keuntungan

Dalam perkembangan berkaitan, hasil kumpulan meningkat 4.8% kepada RM1.26 bilion pada 3QFY26 berbanding RM1.20 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, disokong pertambahan jumlah transaksi sebanyak 6.9% kepada 52.5 juta.

 

Bagaimanapun, nilai purata pembelian bagi setiap transaksi susut 2.2% kepada RM23.70 berbanding RM24.20 sebelumnya, sekali gus menunjukkan pelanggan berbelanja lebih rendah bagi setiap kunjungan.

 

Menurut MBSB Research, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan merosot 4.1% kepada RM131.3 juta pada 3QFY26 berbanding RM136.9 juta setahun sebelumnya, manakala bagi 9MFY26, PAT susut 2% kepada RM463.7 juta daripada RM473.3 juta.

 

Tekanan keuntungan itu turut dipengaruhi penyusutan margin kasar kepada 46.4% daripada 47.3% pada suku sama tahun sebelumnya, selain peningkatan perbelanjaan pentadbiran sebanyak 8.2% dan perbelanjaan operasi lain sebanyak 7.9%.

 

Persaingan e-dagang terus menjadi perhatian

MBSB Research menjangkakan pertumbuhan keuntungan MR DIY kekal sederhana dalam tempoh terdekat berikutan nilai purata pembelian yang lebih rendah dan SSSG negatif terus mengimbangi manfaat daripada peningkatan jumlah transaksi serta peluasan rangkaian kedai.

 

Pada masa sama, BIMB Securities mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menurunkan saranan saham MR DIY kepada Pegang daripada Beli serta mengurangkan harga sasaran kepada 95 sen daripada RM2.25, manakala MBSB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.59 berbanding RM2.13 sebelum ini.

 

Kedua-dua firma penyelidikan itu bagaimanapun melihat peningkatan produktiviti kedai sedia ada sebagai antara faktor penting dalam menentukan keupayaan MR DIY mengekalkan pertumbuhan perniagaan ketika kumpulan memperlahankan peluasan rangkaian cawangannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved