amree10/09/2026 - 10:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — Prestasi segmen pembungkusan dan hartanah berpeluang menjadi pemacu utama pertumbuhan positif Scientex Berhad sepanjang tahun kewangan 2027, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, kedua-dua bidang perniagaan tersebut menunjukkan peningkatan secara kukuh pada FY26, meskipun kumpulan masih perlu berdepan dengan cabaran turun naik kos bahan mentah.
TA Research berkata keputusan 4QFY26 secara keseluruhan sejajar jangkaan, dengan keuntungan teras FY26 sebanyak RM612.6 juta, mencapai 105% daripada unjuran firma penyelidikan berkenaan.
"Perkembangan kukuh itu mencerminkan peningkatan perniagaan Scientex, dengan segmen hartanah menjadi antara penyumbang terbesar hasil sebanyak 8.3% diikuti pembungkusan iaitu 5.1%," katanya.
Dalam segmen pembuatan, hasilnya naik lebih dua kali ganda kepada RM87.5 juta didorong harga jualan lebih tinggi, margin produk yang baik dan langkah pengoptimuman campuran produk.
Bagi segmen hartanah, hasil progresif disokong projek sedang dibangunkan serta jualan pelancaran baharu, dengan kumpulan turut mengisytiharkan dividen akhir enam sen sesaham bagi suku berkenaan.
Justeru, TA Research menjangkakan segmen pembungkusan mengekalkan momentum pada FY27, didorong permintaan stabil produk pengguna dan industri, serta penghantaran secara tepat pada masanya.

"Kami menjangka tekanan harga dapat dikurangkan melalui pemindahan kos, sumber bahan mentah lebih kompetitif dari China serta sumbangan margin tinggi daripada pembungkusan pengguna," jelasnya.
Firma tersebut turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Scientex dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM4.95 berbanding RM4.82, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP).
Sementara itu, RHB Research pula mengekalkan pandangan 'neutral' meskipun mengunjurkan FY27 yang lebih kukuh, disokong prospek hartanah yang sihat dan pemulihan berterusan segmen pembungkusan.
Sehubungan itu, firma berkenaan menaikkan TP kepada RM4 daripada RM3.60 sebelum ini, dengan saham kumpulan tersebut kini diniagakan pada 8.7 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27.
"Untung Scientex mencecah RM617 juta pada FY26, naik 17% dan mengatasi jangkaan, terutama hasil margin pembungkusan 9.9% berbanding anggaran awal 6.3% serta margin hartanah 28.3%," tambahnya.
RHB Research dalam analisisnya, turut menyatakan nisbah penggearan atau hutang bersih kumpulan berkenaan turut didapati semakin bertambah baik kepada hanya 0.38 kali daripada 0.48 kali.
Berdasarkan situasi itu, ia menaikkan unjuran keuntungan FY27 dan FY28 masing-masing 5% dan 10%, selepas diambil kira andaian margin yang lebih tinggi serta pelancaran hartanah yang lebih kukuh.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan pendirian berkecuali, sementara menunggu prestasi segmen pembungkusan yang lebih jelas dan stabil. - DagangNews.com





