BERNAS curi tumpuan dengan digitalisasi, inovasi industri padi

LocalTechnology
9 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BERNAS curi tumpuan dengan digitalisasi, inovasi industri padi

SERDANG: Peralihan daripada kerja sawah secara manual kepada penggunaan jentera dan dron menarik perhatian pengunjung serta memperlihatkan kemajuan teknologi dalam industri padi negara.

Penganjuran di Laman Padi BERNAS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 itu menghimpunkan penerangan mengenai ekosistem padi dan beras dalam bentuk yang mudah didekati pengunjung.

Menerusi Galeri Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan pengalaman digital di Pavilion BERNAS, pengunjung dapat meneroka kandungan interaktif, teknologi kecerdasan buatan (AI), pengalaman imersif serta pameran berasaskan penceritaan.

Pengisian itu turut merangkumi kisah pesawah, stok penimbal negara, import beras, keterjaminan makanan, inisiatif kelestarian serta tanggungjawab sosial BERNAS.

Antara aktiviti yang disediakan ialah pengalaman sensori beras, demonstrasi penuaian padi dan ikrar awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keterjaminan makanan.

Pengunjung juga boleh berinteraksi dengan Intan iaitu pembantu digital berasaskan AI, selain mengikuti kandungan berkaitan kelestarian, komuniti dan inisiatif BERNAS.

Pameran jentera, mekanisasi dan inovasi pula memperlihatkan bagaimana pesawah serta teknologi saling melengkapi bagi meningkatkan produktiviti dan memperkukuh bekalan beras negara.

Seorang pengunjung, Zakariya Mohamad Zain, 65, berkata, kunjungannya ke Laman Padi BERNAS memberi gambaran lebih jelas mengenai usaha yang diperlukan untuk menghasilkan beras sebelum sampai kepada pengguna.

Pesara swasta itu berkata, masyarakat lazimnya melihat beras sebagai keperluan harian tanpa mengetahui proses panjang yang perlu dilalui sejak peringkat penanaman sehingga penuaian.

“Selama ini kita hanya membeli dan memasak beras, tetapi jarang memikirkan bagaimana ia dihasilkan serta usaha pesawah yang bekerja di sebaliknya.

“Apabila datang ke sini, kita dapat melihat sendiri tanaman padi dan proses yang terlibat. Pengalaman seperti ini membuatkan kita lebih menghargai beras yang menjadi makanan ruji rakyat,” katanya ketika ditemui di Laman Padi BERNAS baru-baru ini.

Beliau berkata, pendedahan mengenai industri padi wajar diberikan sejak usia muda supaya kanak-kanak memahami hubungan antara pertanian dengan bekalan makanan negara.

“Kanak-kanak mungkin mengenali nasi yang dihidangkan di rumah, tetapi tidak semuanya pernah melihat pokok padi atau mengetahui dari mana beras dihasilkan.

“Jika mereka diberikan pengalaman seperti ini, mereka bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah dapat belajar supaya tidak membazir makanan.

“Pendekatan yang santai dan mudah difahami juga membantu masyarakat melihat bidang pertanian sebagai sektor penting yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Nurul Syazmira Nasri, 27, berkata, aktiviti yang disediakan membantunya memahami bahawa setiap jenis beras mempunyai bentuk, saiz dan kaedah penghasilan yang berbeza.

Beliau yang juga guru di Austin Heights International School, Johor berkata, pengetahuan tersebut dekat dengan kehidupan masyarakat memandangkan beras merupakan makanan ruji yang dimakan setiap hari.

“Aktiviti berasaskan permainan dan kuiz merupakan pendekatan yang baik kerana pengunjung perlu mengimbas kod serta melalui setiap stesen untuk mendapatkan maklumat yang disediakan.

“Kaedah itu memastikan pengunjung tidak hanya bermain, sebaliknya turut membaca dan mempelajari sesuatu di setiap stesen, sekali gus memberikan pendedahan kepada generasi muda.

“Di satu stesen, pengunjung juga berpeluang menyertai pengalaman sensori beras. Aktiviti seperti ini sangat bagus kerana kanak-kanak dapat bermain sambil menambah pengetahuan mengenai beras,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Khariani Bakhtiar Afindi, 43, berkata, suasana sawah di Laman Padi BERNAS memberikan pengalaman yang sukar diperoleh keluarganya yang membesar di kawasan bandar.

Beliau yang juga Pembantu Perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia Pahang berkata, anak-anaknya tidak pernah merasai pengalaman berada dekat dengan sawah padi seperti yang disediakan di situ.

“Saya lebih teruja dengan pemandangan sawah padi dan jentera yang dipamerkan. Apabila membawa anak-anak datang, mereka dapat merasai pengalaman menyeronokkan yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya.

Menurut Nurul Khariani, pemandangan sawah sebenar termasuk kehadiran burung ketika mereka bergambar menjadikan kunjungan tersebut lebih bermakna.

“Pameran jentera juga membuatkan saya kagum kerana memperlihatkan perubahan daripada kaedah penanaman konvensional kepada penggunaan teknologi moden.

“Melalui pameran ini, kita dapat melihat bagaimana industri padi berkembang dan memahami bahawa sektor pertanian, termasuk sawah padi, terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Secara keseluruhan, Laman Padi BERNAS bukan sahaja memperkenalkan perkembangan teknologi pertanian, malah mendekatkan masyarakat dan generasi muda dengan dunia pesawah serta kepentingan industri padi kepada keterjaminan makanan negara.-UTUSAN

The post BERNAS curi tumpuan dengan digitalisasi, inovasi industri padi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved