Berpantang maut sebelum ajal, 2 mangsa masih hidup selepas 10 hari

6 Sep 2026 • 11:31 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Berpantang maut sebelum ajal, 2 mangsa masih hidup selepas 10 hari

KATHMANDU – Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang warga China dalam keadaan masih hidup dari  dalam sebuah terowong dan seorang wanita Nepal daripada rumah yang sebahagiannya tenggelam.

Pasukan penyelamat mengejar masa untuk mencari beribu-ribu mangsa yang hilang sejak banjir lumpur dahsyat melanda sempadan Nepal-Tibet, 10 hari lalu.

Sebuah pasukan terdiri daripada askar Nepal dan pakar asing menyelamatkan lelaki warga China itu dari kedalaman 225 meter  di dalam terowong Projek Hidrokuasa Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, demikian menurut kenyataan tentera.

Gambar di laman Facebook tentera menunjukkan mangsa yang hanya dikenali sebagai Luhaitao, dibantu oleh dua anggota penyelamat berpakaian celoreng.

Dia kelihatan sedar, tetapi tangannya diselaputi lumpur tebal dan basah.

“Keadaan kesihatannya sedang diperiksa pada masa ini dengan operasi mencari dan menyelamat  diteruskan,” kata pihak tentera.

Lelaki itu adalah antara ratusan pekerja stesen hidroelektrik yang hilang selepas gelombang air dan lumpur seperti tsunami menghempas sempadan China-Nepal berikutan runtuhan glasier dan batu besar pada 26 Ogos lalu.

Pada hari sama, anggota-anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal mengeluarkan seorang wanita dikenali sebagai  Chandrika Shrestha, 64, dalam keadaan masih hidup dari rumahnya yang tertimbus di daerah Nuwakot.

Pasukan polis menemukan mangsa semasa membersihkan kawasan tersebut.

“Dia  diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan,” kata Timbalan Penguasa Polis Iqbal Hawari kepada AFP.

Video diterbitkan polis menunjukkan hanya sebahagian daripada rumah mangsa  yang kelihatan, dengan tingkat bawah ditenggelami mendapan tebal. – AFP 

The post Berpantang maut sebelum ajal, 2 mangsa masih hidup selepas 10 hari appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved