'Bersatu lawan PN di Negeri Sembilan, apa maknanya?' - Abdul Hadi

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 2:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Bersatu lawan PN di Negeri Sembilan, apa maknanya?' - Abdul Hadi
Abdul Hadi mempersoalkan tindakan Bersatu yang bertanding menentang PN pada PRN Negeri Sembilan.

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

​Beliau memberi reaksi berkenaan susulan wujud perbezaan pandangan antara beliau dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung status keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu.

​"Saya sebut dari segi mafhumnya. Dia (Bersatu) lawan parti dia (PN) sendiri, apa maknanya?

​"Jika apa yang Ahmad Samsuri sebut itu dari segi tertulis dalam perlembagaan. Saya sebut dari segi mafhumnya. Dia lawan parti dia sendiri, apa maknanya?" katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

​Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebagaimana difahamkan, tindakan Bersatu bertanding menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu membolehkan orang ramai memahami sendiri maksud di sebalik keputusan berkenaan.

​Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat untuk membentuk gabungan politik baharu.

​Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kedudukan Bersatu dalam PN belum berubah walaupun timbul dakwaan keanggotaan parti itu terhenti disebabkan hasrat penubuhan gabungan baharu tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved