
MARANG: Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) yakin tiada tindakan pemimpin gabungan itu melanggar perlembagaannya sehingga boleh mengakibatkannya digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada bukti atau hujah kukuh yang boleh membawa kepada tindakan penggantungan PN.
“Sehingga kini tiada bukti, tiada hujah untuk gantung PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, wujud harapan dalam kalangan pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu PN digantung oleh RoS.
Jika tindakan tegas itu diambil, parti-parti komponen dalam gabungan berkenaan juga tidak lagi boleh menggunakan lambang PN pada pilihan raya akan datang.
Selasa lalu, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai lepas.
Ini termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.
Ditanya mengenai dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat MT PN pada 16 Julai lepas, Abdul Hadi berkata: “Dia lawan parti dia (PN) sendiri, apa maknanya?”
Ahli Parlimen Marang itu merujuk kepada tindakan Bersatu yang bertanding menentang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan kerana tidak lagi berada dalam Mesyuarat MT PN dan menyerahkannya kepada ahli mesyuarat gabuangan tersebut menentukan tindakan selanjutnya. – UTUSAN
The post Tiada bukti, hujah untuk gantung PN – Abdul Hadi appeared first on Utusan Malaysia.






