Berselisih Faham Dengan Teman Lelaki, Wanita Maut Dipukul

3 Sep 2026 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Berselisih Faham Dengan Teman Lelaki, Wanita Maut Dipukul

PENAMPANG - Seorang wanita berusia 44 tahun meninggal dunia selepas dipercayai diserang dalam satu kejadian yang dikatakan berpunca daripada perselisihan faham dengan teman lelakinya.

Susulan kejadian, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan.

Mangsa dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam yang sama ketika sedang menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata, suspek ditahan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang membuka siasatan berhubung kematian mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula selepas berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum wanita itu didakwa diserang.

“BSJD Penampang dengan bantuan Bahagian Forensik (D10), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

“Beberapa barangan serta sampel berkaitan turut ditemukan dan dirampas bagi membantu siasatan serta analisis forensik,” katanya. 

Jelas Sammy, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih dijalankan. Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dan proses undang-undang berakhir,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849, atau tampil ke balai polis berhampiran. - Getaran, 3 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved