KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut kerajaan dan pembangkang memanfaatkan baki tempoh Parlimen ke-15 untuk menyelesaikan agenda reformasi institusi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Gesaan itu antara lain melibatkan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun serta penggubalan Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat.
Dalam kenyataan bersama 44 organisasi masyarakat sivil dan 25 individu, mereka berkata reformasi berkenaan perlu dilaksanakan menerusi kerjasama rentas parti bagi memastikan agenda tersebut tidak terhenti sekiranya berlaku perubahan kerajaan pada masa depan.
“Semua gabungan dan parti politik, khususnya mereka yang bercita-cita membentuk dan menyertai kerajaan Persekutuan akan datang, hendaklah menyokong reformasi ini,” menurut kenyataan itu.
Antara NGO yang menyokong kenyataan itu adalah Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Bersih, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Mereka pada masa sama menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang kemuncak kepimpinan merentas parti membabitkan semua parti kerajaan dan pembangkang yang mempunyai wakil di Parlimen.
Sidang berkenaan dicadangkan bagi merangka agenda bersama untuk baki tempoh Parlimen ke-15, dengan pelaksanaan reformasi dikongsi merentas parti dan Ahli Parlimen.
Selain pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had tempoh Perdana Menteri, kumpulan berkenaan turut menggesa undang-undang berkaitan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang mandatori dan adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Mereka turut mahu Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dikemas kini bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap proses pilihan raya, selain memperluas pengundian pos atau kaedah pengundian tidak hadir kepada rakyat Malaysia di luar negara serta pengundi yang berada di luar kawasan.
Parlimen ke-15 dijadual tamat penggal pada 18 Disember 2027, sekali gus memberi tempoh berbaki kepada kerajaan dan pembangkang untuk melaksanakan reformasi berkenaan sekiranya Dewan Rakyat tidak dibubarkan lebih awal.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menggesa Parlimen ke-15 terus berkhidmat sehingga tarikh tersebut kecuali berlaku kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan.
“Parlimen ke-15 wajar berkhidmat sehingga tamat penggal pada 18 Disember 2027, kecuali berlaku kehilangan kepercayaan bagi merealisasikan sebanyak mungkin reformasi yang diperlukan untuk memperdalam demokrasi dan memperbaiki tadbir urus,” katanya.
Dalam pada itu, mereka mahu jawatankuasa Parlimen diperluas dan diperkukuh bagi memastikan setiap kementerian dipantau menerusi jawatankuasa tetap atau khas.
Menurut mereka, Ahli Parlimen pembangkang juga perlu diberi peluang berkhidmat dalam jawatankuasa berkenaan, manakala setiap jawatankuasa perlu dilengkapi sokongan pentadbiran, kewangan dan penyelidikan yang mencukupi.
Kumpulan itu turut mencadangkan proses penggubalan dan penelitian belanjawan yang lebih berinstitusi serta saluran berkesan bagi membolehkan Rang Undang-Undang Persendirian dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dicadangkan mengemukakan agenda reformasi institusi Pembangkang bagi baki tempoh Parlimen ke-15.
“Reformasi ini akan memberi manfaat kepada mana-mana kerajaan pada masa depan dan/atau mewujudkan padang permainan yang sama rata untuk semua parti,” jelas mereka.
Kenyataan itu turut memberi penekanan kepada peranan PKR dan DAP dalam memastikan agenda reformasi terus diberi keutamaan.
Menurut kumpulan berkenaan, kedua-dua parti itu perlu menggunakan kongres dan persidangan masing-masing pada 15 dan 16 Ogos untuk menyelesaikan perkara berkaitan reformasi.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan semua parti pembangkang dilayan secara adil serta menjamin persaingan pelbagai parti yang sihat dan mengelakkan kembali kepada sistem dominasi satu parti seperti sebelum 2018.
Selain reformasi di peringkat Persekutuan, semua 13 negeri turut digesa menggubal undang-undang bagi mewajibkan CDF yang mandatori dan adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tanpa mengira fahaman politik.
Kumpulan berkenaan turut mencadangkan penambahbaikan sistem pilihan raya 'First-Past-The-Post' (FPTP) di peringkat negeri menerusi pengenalan ADUN seluruh negeri berasaskan sistem perwakilan berkadar.
Cadangan itu termasuk penyediaan kuota gender dan demografi dalam senarai calon serta pengukuhan peranan jawatankuasa terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam perkembangan sama, kerajaan Persekutuan dan negeri digesa mengumumkan lebih awal tarikh pembubaran pilihan raya sekiranya tidak bercadang berkhidmat sehingga tamat penggal.
Menurut mereka, pengumuman awal penting bagi membolehkan pengundi dan semua pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, penjawat awam, sekolah, parti politik serta sektor swasta membuat persiapan sewajarnya.






