Bertemu Dengan CEO Intel Kelahiran Malaysia, Ini Kata Trump

LocalPolitics
13 Aug 2025 • 8:31 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Bertemu Dengan CEO Intel Kelahiran Malaysia, Ini Kata Trump

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan telah mengubah pendiriannya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan, selepas mengadakan pertemuan empat mata di White House pada Isnin.

Pertemuan itu diadakan hanya beberapa hari selepas Trump menggesa Tan meletakkan jawatan berikutan dakwaan mempunyai hubungan dengan syarikat di China, seperti dilapor NY Times.

Tan, 65, yang dilahirkan di Malaysia sebelum menjadi warganegara AS, dilantik sebagai CEO Intel pada Mac lalu bagi memulihkan syarikat semikonduktor gergasi itu yang sedang bergelut untuk bersaing dengan pesaing utama.

Presiden Amerika Syarikat puji kejayaan Tan

Selepas pertemuan tersebut, Trump tidak mendedahkan butiran lanjut pertemuan bersama Tan, tetapi menyifatkan perbincangan mereka sebagai sangat menarik.

Beliau bahkan menyifatkan perjalanan karier Tan sebagai kisah kejayaan yang luar biasa.

Tidak hanya itu, Trump memaklumkan bahawa Tan bersama ahli kabinet akan bertemu semula minggu depan untuk mengemukakan cadangan kepadanya.

Menurut NY Times, kenyataan ini dilihat sebagai tanda Trump melonggarkan kebimbangannya terhadap risiko keselamatan negara yang dikaitkan dengan Tan.

Hal ini kerana sebelumnya, Trump menuduh Tan sangat berkonflik dan perlu berundur, satu langkah yang jarang diambil oleh seorang presiden untuk cuba mempengaruhi kepimpinan syarikat tersenarai awam.

Tekankan komitmen di AS

Dalam kenyataan rasmi, Intel memaklumkan bahawa perbincangan dengan Trump berlangsung secara terbuka dan membina.

Fokus utama adalah kepada komitmen syarikat untuk memperkukuh kedudukan teknologi dan pembuatan di Amerika Syarikat.

“Kami menghargai kepimpinan presiden dalam memajukan keutamaan penting ini dan berhasrat bekerjasama rapat bagi memulihkan semula kegemilangan syarikat ini,” kata Intel.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat enggan mengulas sama ada Trump membangkitkan isu hubungan Tan dengan China secara langsung dalam pertemuan tersebut.

CEO Intel kelahiran Malaysia dapat pujian daripda Trump

Pertemuan ini berlangsung pada saat kritikal buat Intel yang kini ketinggalan jauh berbanding pesaing.

Tahun lalu, CEO terdahulu, Patrick Gelsinger, digugurkan, dan Tan yang merupakan bekas ahli lembaga dilantik untuk memimpin pemulihan.

Bulan lalu, Tan mengumumkan pemberhentian 15 peratus tenaga kerja.

Beliau turut memperkenalkan strategi baharu untuk menumpukan pasaran cip kecerdasan buatan (AI), meningkatkan semula pegangan dalam cip komputer peribadi, dan memperbaiki teknologi pembuatan cip.

Bukan itu sahaja, Intel juga menjadi penerima manfaat utama Akta CHIPS yang diperkenalkan semasa pentadbiran Biden.

Syarikat gergasi itu dilapor menerima dana persekutuan berjumlah AS$8.5 bilion bagi membina kilang di Arizona, Ohio dan New Mexico.

Namun, kelemahan prestasi syarikat menimbulkan persoalan tentang keupayaannya menyiapkan projek-projek tersebut. Trump sebelum ini turut mengkritik akta tersebut.

Isu hubungan dengan China

Tan sebelum ini pernah menjadi CEO Cadence Design Systems sehingga 2021, sebuah syarikat perisian reka bentuk cip di Silicon Valley.

Namanya kembali diperkatakan selepas Cadence mengaku bersalah atas kesalahan mengeksport alat reka bentuk cip secara haram kepada sebuah universiti di China yang terlibat dalam penyelidikan simulasi letupan nuklear.

Syarikat itu bersetuju membayar penalti hampir AS$118 juta bagi menyelesaikan kes tersebut.

Kes ini mendorong Senator Tom Cotton, Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat AS, menghantar surat kepada White House untuk mempersoalkan hubungan Tan dengan China.

Isu itu mendapat perhatian media, termasuk liputan oleh pengacara Fox Business, Maria Bartiromo, yang mendorong Trump membuat kenyataan mendesak Tan dipecat.

Namun, Tan menegaskan dalam kenyataan di laman web Intel bahawa Amerika Syarikat telah menjadi rumahnya lebih 40 tahun.

Beliau turut menegaskan akan bekerjasama dengan pihak pentadbiran semasa untuk memastikan semua fakta sebenar difahami.

Sumber: NY Times