
JALAN raya kini sudah bertukar menjadi gelanggang ‘tinju’. Sedikit salah faham, terus angkat tangan. Ada pula yang tidak puas hati hanya sebab bunyi hon sampai akhirnya berlaku aksi kejar mengejar.
Lebih membimbangkan, perangai sebegini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan, tidak kira wataknya lelaki mahupun wanita, tua ataupun muda.
Jalan raya bukan lagi sekadar tempat untuk kita bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi bagi sesetengah pemandu, ia sudah menjadi pentas untuk menunjukkan siapa lebih berani, lebih kuat dan lebih samseng.
Persoalannya, apa yang ingin dibuktikan?
Menang bergaduh di tengah jalan raya tidak menjadikan seseorang itu lebih hebat. Menjerit paling kuat juga tidak menjadikan seseorang itu lebih betul.
Malah, apabila video pergaduhan tersebar di media sosial, yang tinggal bukanlah imej seorang ‘jaguh jalan raya’, sebaliknya wajah seseorang yang sedang menanggung malu.
Bertambah malang, ada yang bergaduh hanya kerana perkara kecil. Tidak puas hati kerana kenderaan dipotong, berang kerana dibunyikan hon, marah kerana kenderaan lain masuk ke lorong atau tersinggung apabila ditegur. Alasan pula bermacam-macam.
Namun, apa pun alasannya, tangan yang naik, kaki yang menendang dan mulut yang memaki tidak pernah menyelesaikan masalah.
Kadangkala kita tertanya-tanya, apakah yang berlaku kepada kesabaran manusia di jalan raya? Mengapa hanya kerana salah faham dan sedikit kesilapan, kita mudah untuk hilang pertimbangan dan sukar bertolak ansur?
Mengapa kita sanggup mempertaruhkan keselamatan diri dan pengguna jalan raya hanya kerana ego tercalar beberapa saat? Jangan hanya kerana satu kesilapan kecil yang boleh diselesaikan cara baik, perjalanan seseorang berakhir dengan tragedi.
Lebih menyedihkan apabila anak-anak turut berada dalam kenderaan ketika ibu bapa bertengkar dengan pemandu lain. Apakah yang mereka belajar?
Perangai samseng di jalan raya bukan sekadar soal undang-undang atau kesalahan lalu lintas. Ia soal budaya dan sikap. Kalau perkara kecil pun tidak mampu kita selesaikan dengan akal, bagaimana kita mahu membina masyarakat yang lebih matang dan bertamadun?
Jangan sampai kita terlalu mahu mempertahankan ego sehingga lupa harga yang perlu dibayar. Mungkin pada mulanya hanya pertengkaran beberapa minit, tetapi akibatnya boleh menjadi kecederaan, kerosakan kenderaan, laporan polis, malah kehilangan nyawa.
Lebih pahit, sakit dapat, malu pun dapat. Sakit kerana dipukul dan malu kerana rakaman pergaduhan tersebar. Malu kepada keluarga, rakan sekerja dan anak-anak.
Jalan raya bukan tempat untuk kita mencari kemenangan. Yang ada hanyalah tanggungjawab untuk memastikan kita dan orang lain sampai ke destinasi dengan selamat.
Jadi, sebelum turun dari kereta untuk berlagak seperti samseng, fikirkan sekali lagi. Tanya diri sendiri, berbaloi atau tidak?
Kadangkala orang yang paling kuat bukanlah orang yang berani turun untuk bergaduh, tetapi orang yang mampu mengawal marah ketika berada dalam situasi genting.
The post ‘Bertinju’ di jalan raya, sakit dapat malu pun dapat appeared first on Kosmo Digital.





