BESS pemacu pertumbuhan baharu BM GreenTech sumbang 50% hasil solar FY28 - Phillip Capital

Business & Finance
28 Sep 2026 • 9:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BESS pemacu pertumbuhan baharu BM GreenTech sumbang 50% hasil solar FY28 - Phillip Capital Image from: BESS pemacu pertumbuhan baharu BM GreenTech sumbang 50% hasil solar FY28 - Phillip Capital hamden28/09/2026 - 09:24 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept - Sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu BM GreenTech Bhd (BMG), dengan penghantaran dijangka meningkat mulai suku ketiga tahun kewangan 2027 (3QFY27) dan berpotensi menyumbang sehingga 50% daripada hasil segmen solar menjelang FY28E.

 

Phillip Capital Research (Phillip Capital) berkata BESS kini muncul sebagai pemangkin utama dalam tempoh terdekat selepas BMG menggunakan BESS berskala komersial pertamanya pada Mac 2026.

 

Menurut firma penyelidikan itu, data penjimatan daripada pelanggan komersial dan perindustrian (C&I) kini menyokong usaha pemasaran lanjut BMG, manakala pihak pengurusan menjangkakan penghantaran BESS akan meningkat mulai 3QFY27.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan BESS berpotensi menyumbang satu pertiga daripada hasil solar pada FY27E, sebelum meningkat kepada 50% pada FY28E," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Penggunaan BESS dalam kalangan pelanggan C&I turut disokong tempoh pulangan modal yang dianggarkan antara tiga hingga empat tahun menerusi keupayaan teknologi itu mengurangkan permintaan elektrik pada waktu puncak.

 

Bagi Pelan Perolehan Tenaga Hijau Korporat (CRESS), Phillip Capital berkata minat terhadap peluang tersebut semakin meningkat susulan pengurangan 30% kadar Caj Akses Sistem (SAC).

 

BMG juga sedang meneroka peluang sebagai pemaju dan pemilik aset, dengan kajian sistem kuasa telah disiapkan bagi beberapa tapak terpilih.

 

Bio tenaga kekal penyumbang utama

Dalam pada itu, segmen bio tenaga kekal sebagai penyumbang utama pendapatan BMG bagi FY27E, dengan pihak pengurusan menyifatkannya sebagai penjana aliran tunai utama kumpulan.

 

Ia disokong pangkalan 875 dandang terpasang serta kedudukan kukuh syarikat dalam pasaran Malaysia dan Indonesia.

 

Namun, prestasi 1QFY27 BMG agak sederhana apabila keuntungan bersih teras susut 25% tahun ke tahun kepada RM11 juta, dipengaruhi tekanan margin daripada campuran solar berskala utiliti serta sumbangan lebih rendah daripada segmen rawatan air.

 

Sementara itu, peluang rawatan air untuk pusat data (DC) kekal tersedia tetapi berkembang lebih perlahan daripada jangkaan susulan tadbir urus lebih ketat berkaitan isu air yang memanjangkan tempoh pembangunan projek.

 

Phillip Capital berkata BMG kini memasuki Fasa 2 projek rawatan air pusat data selepas menyelesaikan Fasa 1.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan peningkatan suku ke suku yang ketara pada 3QFY27 dan 4QFY27, dengan pertumbuhan hasil mengikut landasan, namun keuntungan bergantung kepada campuran projek," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan FY27E menjadi tahun peralihan bagi BMG, dengan momentum pendapatan lebih tertumpu pada 2HFY27 apabila penghantaran BESS meningkat dan segmen solar bertambah baik. 

 

Pertumbuhan pendapatan dijangka lebih kukuh pada FY28E, dengan keuntungan meningkat 19% tahun ke tahun.

 

Phillip Capital mengekalkan saranan 'BELI' terhadap BMG dengan harga sasaran 12 bulan RM2.20.

 

Firma itu berkata BMG mempunyai prospek pertumbuhan yang menarik, disokong saiz pasaran boleh tangani yang besar menerusi inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain kedudukannya sebagai syarikat penyelesaian tenaga berfokuskan ESG.

 

Risiko utama terhadap saranan itu termasuk perubahan tidak dijangka dalam dasar kerajaan serta turun naik harga bahan mentah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved