amree24/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Pertumbuhan hasil sebanyak 17.9% kepada RM318.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027 membantu LB Aluminium Berhad mengimbangi tekanan akibat ketidaktentuan harga aluminium global dan peningkatan kos bahan mentah yang terus membayangi prospek kumpulan.
Peningkatan pendapatan itu, menunjukkan momentum kedua-dua segmen utama kumpulan berkenaan iaitu perniagaan aluminium dan hartanah, masih mampu menyokong prestasi kewangan walaupun persekitaran operasi berdepan masalah turun naik harga komoditi serta kadar pertukaran wang asing (forex).
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, pertumbuhan hasil berkenaan diterjemahkan kepada pertambahan keuntungan apabila keuntungan bersih melonjak kira-kira 60% kepada RM18.6 juta bagi suku itu yang berakhir 31 Julai 2026, berbanding RM11.6 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
"LB Aluminium kekal berdepan cabaran harga aluminium global yang meningkatkan kos bahan mentah dengan pergerakan harga komoditi dan mata wang asing kekal antara faktor yang perlu dipantau bagi melindungi margin keuntungan kumpulan dalam jangka panjang," jelasnya lagi.
Bagi suku dikaji, segmen aluminium mencatat pertumbuhan hasil 16.5% kepada RM230.77 juta, disokong peningkatan jumlah jualan dan harga jualan purata (ASP), manakala pendapatan segmen hartanah turut meningkat 21.8% kepada RM88.03 juta, didorong projek Platinum South Valley (PSV)," katanya.

Dalam menghadapi isu ketidaktentuan pasaran, kumpulan tersebut berkata pihak pengurusan akan terus memantau pergerakan harga aluminium dan kadar forex semasa dengan teliti, selain melaraskan harga jualan apabila diperlukan bagi melindungi margin sepanjang tempoh suku yang berikutnya.
LB Aluminium turut berhati-hati terhadap risiko penurunan permintaan susulan konflik Timur Tengah yang berpanjangan, kelemahan perdagangan global serta pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus berpotensi mempengaruhi persekitaran operasi dan kos bahan mentah.
"Dalam segmen hartanah, projek PSV 1 Residences dan PSV 2 Residences di Bandar Tasek Selatan masing-masing sudah mencapai jualan terkumpul mencecah sebanyak 94.2% dan 74.4%, manakala kemajuan pembinaan masing-masing berada pada tahap 98.3% dan 79.3%," jelas kumpulan berkenaan.
Prestasi jualan dan kemajuan pembinaan kedua-dua projek itu dijangka terus menyokong sumbangan segmen hartanah, manakala prestasi perniagaan aluminium pula masih lagi akan bergantung kepada keadaan harga komoditi semasa, jumlah jualan, kos bahan mentah dan pergerakan ringgit.
Lembaga pengarah menjangkakan LB Aluminium kekal mencatat keuntungan pada suku akan datang. Tiada dividen diisytiharkan bagi suku itu, dan sahamnya ditutup lima sen atau 1.03% lebih rendah kepada 48 sen pada 23 September 2026, memberikan kumpulan nilai pasaran RM208.73 juta. - DagangNews.com





