Pasaran India jadi pemacu pertumbuhan keuntungan EcoSys mulai FY2027 - Malacca Securities

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 11:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasaran India jadi pemacu pertumbuhan keuntungan EcoSys mulai FY2027 - Malacca Securities Image from: Pasaran India jadi pemacu pertumbuhan keuntungan EcoSys mulai FY2027 - Malacca Securities liza28/09/2026 - 11:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept – EcoSys (Malaysia) Berhad dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan yang lebih ketara mulai tahun kewangan 2027 (FY2027) didorong sumbangan lebih tinggi daripada sistem rawatan gas industri (abatement), peluaan operasi di pasaran India dan peningkatan keupayaan pengeluaran kilangnya di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

 

Malacca Securities mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras EcoSys masing-masing RM11.1 juta, RM13.4 juta dan RM16.4 juta bagi FY2026 hingga FY2028, dengan pertumbuhan disokong oleh peningkatan sumbangan perniagaan abatement yang mempunyai margin lebih tinggi.

 

Menurut firma penyelidikan itu, EcoSys turut mempunyai tempahan yang telah diperoleh bernilai RM94.3 juta setakat 25 Ogos 2026, terdiri daripada RM63.4 juta yang dijadualkan dihantar pada FY2026 dan RM30.9 juta pada FY2027.

 

“Tempahan tersebut memberikan gambaran terhadap permintaan yang bakal diterima EcoSys dalam tempoh terdekat, walaupun masa pengiktirafan hasil masih bergantung kepada jadual pelanggan, penghantaran dan penerimaan produk,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Bagi FY2025, perniagaan abatement menjana hasil RM46 juta dengan keuntungan kasar RM13.7 juta serta margin keuntungan kasar 29.9%, lebih tinggi berbanding margin 19.5% bagi perniagaan kejuruteraan ketepatan ultra tinggi (UHP).

 

India jadi pemacu pertumbuhan

M+ Research melihat perkembangan industri pembuatan di India, khususnya sektor berkaitan solar, sebagai antara peluang pertumbuhan utama EcoSys selepas hasil daripada pasaran itu meningkat kepada RM38.2 juta atau 35.1% daripada hasil kumpulan pada FY2025, berbanding RM6.3 juta pada FY2024.

 

EcoSys memperoleh tujuh pelanggan baharu bagi sistem abatement di India dalam tempoh kajian hingga tarikh praktikal terkini, dengan lima daripadanya dikenal pasti sebagai pelanggan utama yang membuat pelaburan dalam pembuatan berkaitan solar.

 

Malah, seorang pelanggan yang terlibat dalam pembuatan berkaitan solar menyumbang RM22.2 juta hasil daripada sistem abatement di India dan Singapura, bersamaan 20.4% daripada jumlah jualan kumpulan.

 

Firma itu berkata, prestasi tersebut menunjukkan peningkatan perbelanjaan modal dalam pembuatan solar di India sudah diterjemahkan kepada hasil EcoSys, manakala rancangan membuka pusat jualan dan perkhidmatan di India dijangka membantu syarikat mendekati pelanggan serta menyokong pemasangan peralatan baharu.

 

Selain itu, teknologi milik EcoSys sendiri membolehkannya menghasilkan peralatan yang disesuaikan dengan proses pelanggan, manakala jumlah sistem yang dihantar meningkat daripada 99 unit pada FY2024 kepada 194 unit pada FY2025.

 

Keuntungan FY26 terjejas selepas tamat insentif cukai

Walaupun prospek pertumbuhan dilihat positif, M+ Research menjangka keuntungan teras EcoSys bagi FY2026 kekal hampir tidak berubah pada RM11.1 juta berbanding RM11.2 juta pada FY2025.

 

Keadaan itu antara lain disebabkan tamatnya pengecualian cukai 70% bagi pendapatan berkanun daripada produk yang layak milik SIW Manufacturing pada November 2025, selain kos penyenaraian yang turut memberi kesan kepada keuntungan dilaporkan.

 

Malacca Securities menetapkan nilai saksama sebanyak 32 sen sesaham bagi EcoSys, berbanding harga IPO 27 sen, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 14.9 kali kepada unjuran pendapatan sesaham teras FY2027 sebanyak 2.14 sen.

 

M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved