BHIC tambah pelaburan RM8 juta dalam penyelenggaraan pesawat, kini kuasai 81% BHIC Aeroservices

Business & Finance
11 Aug 2026 • 5:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BHIC tambah pelaburan RM8 juta dalam penyelenggaraan pesawat, kini kuasai 81% BHIC Aeroservices Image from: BHIC tambah pelaburan RM8 juta dalam penyelenggaraan pesawat, kini kuasai 81% BHIC Aeroservices johardy11/08/2026 - 17:37 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) akan memperoleh tambahan 30% kepentingan dalam syarikat penyelenggaraan pesawat, BHIC Aeroservices Sdn Bhd (BHICAS) pada harga RM8 juta tunai, sekali gus meningkatkan pegangan efektifnya kepada 81%.

 

Anak syarikat milik penuhnya, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Prestige Pillar Sdn Bhd bagi memperoleh 600,000 saham BHICAS. Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd akan mengekalkan pegangan 19% selepas urus niaga itu.

 

Harga pembelian RM8 juta yang dijangka dibiayai menerusi dana dalaman berada hampir pada paras tertinggi dalam julat penilaian ekuiti bebas antara RM3.9 juta hingga RM8.4 juta yang ditentukan Grant Thornton Consulting Sdn Bhd menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun.

 

BHIC berkata, penilaian itu mengambil kira potensi BHICAS menjana aliran tunai pada masa depan, termasuk perniagaan sedia ada berkaitan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta potensi sumbangan daripada cadangan kontrak Tentera Laut.

 

BHICAS menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat sayap berputar dan sayap tetap, termasuk platform helikopter EC725, AS365 Dauphin dan AS555 Fennec.

 

"Pengambilalihan itu akan meningkatkan bahagiannya dalam pendapatan BHICAS selain mengukuhkan perniagaan aeroangkasa dan pertahanan kumpulan," kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.


Dijangka pulihkan pendapatan

Berdasarkan angka belum diaudit, hasil BHICAS susut 20.6% kepada RM85.1 juta pada 2025, namun syarikat kembali mencatat keuntungan selepas cukai RM370,000 berbanding kerugian RM1.57 juta pada 2024, dibantu pembalikan peruntukan berjumlah RM9 juta.

 

Bagi separuh pertama 2026, hasil merosot 37.6% kepada RM29.4 juta berikutan pengurangan jam penerbangan, namun BHICAS mencatat keuntungan selepas cukai RM490,000 berbanding kerugian RM3.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

BHIC berkata, BHICAS turut meneroka peluang MRO dalam segmen awam dan komersial, termasuk operasi helikopter minyak dan gas luar pesisir serta perkhidmatan MRO serantau untuk pihak ketiga.

 

Pengambilalihan itu, yang bukan urus niaga pihak berkaitan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham BHIC, tertakluk kepada persetujuan Airbus Helicopters Malaysia serta pembiaya sedia ada BHICAS dan dijangka selesai pada suku keempat 2026.

 

BHIC berkata, urus niaga itu tidak akan menjejaskan pelaksanaan pengurangan modal di bawah rancangan penswastaan oleh Boustead Holdings Bhd. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved