![“Biar Mahkamah Putuskan Siapa Bersalah” – Pemandu Aruz Tular Bergaduh Setuju Terima Bantuan Guaman Pemuda UMNO [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Pemandu-Aruz-setuju-terima-bantuan-guaman.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar dua minggu lalu, kecoh di media sosial insiden pergaduhan melibatkan pemandu sebuah Ferrari dan Perodua Aruz di Kilometer 276 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.
Menerusi video tular, berlaku perselisihan faham di antara kedua-dua individu terbabit bergaduh dengan salah seorang daripadanya turut dipukul sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh beberapa pengguna jalan raya lain.
Insiden itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial termasuklah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu menawarkan khidmat guaman percuma kepada pemandu Perodua Aruz terbabit.
Jelas Akmal, dia pada awalnya enggan mencampuri urusan berkenaan namun terpanggil untuk menawarkan bantuan tersebut kerana berpendapat apa yang berlaku tidak wajar dilihat dari satu pihak sahaja.
Akmal Saleh Dakwa Pemandu Aruz Setuju Terima Bantuan Guaman
Semalam (16 Ogos), Akmal Saleh dalam satu hantaran di Facebook mendedahkan pemandu Aruz terbabit bersetuju untuk menerima bantuan guaman percuma dari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Alhamdulilah saya dah dapat jumpa abang Aruz yang kita cari. Alhamdulillah abang Aruz bersetuju untuk kita guna peguam pemuda UMNO Malaysia untuk kita lawan di mahkamah
“Doakan keadilan dapat diberikan kepada abang Aruz ini. Kepada abang Aruz, kami semua bersama anda,” tulis Akmal di kapsyen.
Menerusi hantaran sama, Akmal turut berkongsi video dia mengubungi pemandu Aruz terbabit.
Kongsi Akmal kepada pemandu Aruz itu, dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan selepas melihat pemandu Ferrari berkenaan mengadakan sidang media menceritakan kisah terbabit dari sisinya.
Malah menurut Akmal dia difahamkan yang pemandu Ferrari terbabit mahu membawa kes ini ke mahkamah.
Pemandu Aruz Dakwa Pemandu Ferrari Tuntut Dua Perkara Jika Mahu Selesaikan Secara Baik
Pemandu Aruz yang dihubungi oleh Akmal mengakui kenyataan itu namun dia mendakwa telah diberi dua syarat oleh pemandu Ferrari terbabit jika mahu insiden tersebut diselesaikan secara baik.
“Betul, dia nak bawa kes ini ke mahkamah tetapi malam semasa saya dengan dia dekat balai, dia kata kalau nak settle secara baik dia bagi dua syarat.
“Syarat pertama yang dia bagi, saya kena mohon maaf secara terbuka kepada media dan mengaku salah.
“Yang kedua saya kena bayar dia RM10,000. Saya tanya dia kenapa, dia kata kos rawatan,” dakwa Pemandu Aruz berkenaan.
Biar Mahkamah Putuskan Siapa Salah – Akmal Saleh
Ekoran itu, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau terus menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Pemandu Aruz yang merupakan seorang anggota tentera.
“Biar mahkamah putuskan siapa salah. Kalau dia ingat awak keseorangan, saya nak bagitahu, bahawa awak tidak keseorangan.
“Kita akan bersama. Kalau dia nak bawak kes ini ke mahkamah, tak apa bring it. Kalau dia kata, dia nak selesai, it’s up to you.
“Bagi saya kalau dia nak minta macam-macam, bagi saya tak berapa sangatlah, kenapa kita nak ikut benda tu, biarlah mahkamah putuskan,” katanya.
Jelas Akmal lagi, peguam dari Pemuda UMNO akan menghubungi pemandu Aruz terbabit dan meminta beberapa butiran sebelum meneruskan ke peringkat seterusnya.
“Saya bantu semampu saya yang saya rasa keadilan perlu ditegakkan, kita all out insya-Allah,” kata Akmal.
Menerusi video itu, kedengaran pemandu Perodua Aruz itu turut menzahirkan penghargaan kepada Akmal atas bantuan yang diberikan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya mendedahkan kedua-dua pihak dipercayai telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perselisihan faham secara baik dan akan mengadakan sidang media berhubung isu berkenaan.
“Kedua-dua pihak turut bersetuju atas kehendak sendiri untuk membuat siaran media bersama bagi menjelaskan penyelesaian yang dicapai, susulan rakaman kejadian yang tular dalam media sosial,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Ferrari & Perodua Aruz Tular Bergaduh Sudah Berdamai, Enggan Panjangkan Perselisihan – Polis
Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dua Pemandu Bergaduh Sambil Rakam Video Di Lebuh Raya [Video]





