Bicara kes Fahmi Zainol disambung 10 September depan

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 3:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bicara kes Fahmi Zainol disambung 10 September depan

BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya sebelum ini disambung semula pada 10 September depan.

Majistret Chia Huey Ting menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memohon penangguhan bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada prosiding kes berkenaan perlu diteruskan atau sebaliknya.

Terdahulu, ketika prosiding, peguam yang mewakili tertuduh, Dr. Shamsher Singh Thind memohon agar mahkamah menggugurkan pertuduhan itu selepas mendakwa kes berkenaan sudah tidak mempunyai asas untuk diteruskan susulan keterangan pengadu.

Katanya, pengadu sebelum ini membuat laporan polis untuk menarik balik aduan sebelum membuat satu lagi laporan kerana tidak berpuas hati berhubung kejadian berkenaan.

Jelas Shamser, keterangan pengadu hari ini juga menunjukkan bahawa memang berlaku pergelutan antara pasangan berkenaan dan pengadu sendiri menyatakan bahawa tertuduh tidak berniat untuk mencederakannya, sebaliknya, hanya cuba mempertahankan diri.

Ikmal bagaimanapun mendakwa, fakta kes yang dirujuk oleh pihak pembelaan berbeza dengan kes berkenaan kerana pihak pendakwaan sudah memanggil saksi pertama, iaitu pengadu untuk memberi keterangan pada prosiding hari ini.

Pada masa yang sama katanya, tindakan pengadu menarik balik laporan polis tidak menamatkan kuasa pihak pendakwaan untuk meneruskan pendakwaan secara automatik kerana keputusan berhubung sesuatu kes itu bukan semata-mata bergantung kepada kehendak mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan arahan lanjut dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sambung bicara dengan semua saksi yang diperlukan diminta hadir.

Fahmi, 35, yang juga bekas exco Pulau Pinang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas kira-kira 10 malam, 22 Februari lepas.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama. Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN

The post Bicara kes Fahmi Zainol disambung 10 September depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved