
SEREMBAN: Perbicaraan penuh kes aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin,48, atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditetapkan pada 15 hingga 17 Februari tahun depan selepas didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan di akaun media sosial miliknya pada Mei lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar menetapkan tarikh berkenaan selepas Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selepas memaklumkan semua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Peguam, Mohd. Hanif Hassan yang mewakili tertuduh mengesahkan pihaknya telah menerima satu set dokumen antaranya rakaman percakapan tertuduh, gambar tempat kejadian dan akaun media sosial milik tertuduh.
Beliau berkata, tiada bantahan dari pihak pembelaan terhadap tarikh perbicaraan yang ditetapkan, namun representasi akan dikemukakan untuk perhatian dan pertimbangan pihak pendakwaan selepas meneliti dokumen yang diterima.
“Jika ada perkembangan terbaharu kepada kes ini, pihak kami akan menulis surat kepada mahkamah berkenaan perkembangan yang mungkin wujud dalam tempoh sebelum perbicaraan yang ditetapkan akan datang,” katanya.
Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan memaklumkan mereka bercadang memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan.
Pada 25 Jun lalu, Chegubard mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut antaranya berbunyi: ‘Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja’afar sah merupakan Yang di-Pertuan Besar Ke-12. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan’ di aplikasi Facebook menerusi akaun Chegu Bard.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. –UTUSAN
The post Hasut institut diraja: Chegubard dibicara Februari tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






