Big Caring catat pembukaan RM1.05 pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Big Caring catat pembukaan RM1.05 pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: Big Caring catat pembukaan RM1.05 pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia liza19/11/2026 - 10:25 Penyenaraian itu menjadikan Big Caring sebagai IPO sektor produk pengguna dan perkhidmatan terbesar di Malaysia bagi tempoh 2025 dan 2026 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Saham Big Caring Group Berhad dibuka pada RM1.05 iaitu tiga sen atau 2.78% lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.08 sesaham pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Saham pengendali rangkaian farmasi itu kemudian susut kepada paras terendah 98 sen dalam beberapa minit pertama dagangan sebelum kembali pulih kepada harga IPO RM1.08 dengan lebih 107 juta saham bertukar tangan. Berdasarkan harga terakhirnya, permodalan pasaran kumpulan itu mencecah kira-kira RM8 bilion.

 

Penyenaraian itu menjadikan Big Caring sebagai IPO sektor produk pengguna dan perkhidmatan terbesar di Malaysia bagi tempoh 2025 dan 2026, menurut kenyataan kumpulan berkenaan.

 

IPO Big Caring melibatkan terbitan sehingga 1.88 bilion saham pada harga RM1.08 sesaham, merangkumi terbitan awam sebanyak 590.5 juta saham baharu dan tawaran jualan 1.29 bilion saham sedia ada, dengan keseluruhan kutipan kasar kira-kira RM2.03 bilion.

 

Kutipan IPO RM637.8 juta untuk kurangkan pinjaman

Daripada jumlah itu, terbitan awam sebanyak 590.5 juta saham baharu mengumpulkan RM637.8 juta untuk syarikat, manakala tawaran jualan saham sedia ada menjana kira-kira RM1.33 bilion yang disalurkan kepada pemegang saham sedia ada, termasuk Uptown Paradise Sdn Bhd yang dikaitkan dengan pengasas kumpulan serta firma ekuiti swasta Creador.

 

Daripada hasil terbitan awam, sebanyak RM570.7 juta atau kira-kira 89.5% diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, yang dijangka menghasilkan penjimatan kos faedah sebanyak RM26.3 juta setahun.

 

Berdasarkan laporan kewangan kumpulan, pinjaman bank Big Caring berjumlah RM1.7 bilion setakat akhir Ogos 2026, dengan sebahagian besar pembiayaan itu digunakan bagi membiayai pengambilalihan Caring Pharmacy daripada 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad pada 2023 bernilai RM888.3 juta, pengedar farmaseutikal Medispec sebanyak RM249.4 juta serta pegangan kawalan dalam rangkaian fisioterapi Your Physio bernilai RM32.8 juta.

 

Sementara itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan pusat pengedaran baharu di Klang bagi menyokong pertambahan rangkaian cawangan, manakala baki RM37.1 juta digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Pusat pengedaran sedia ada kumpulan di Bukit Raja beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti melebihi 80% setakat 30 September 2026, sekali gus mendorong keperluan meningkatkan kapasiti pengedaran bagi menampung perkembangan perniagaan.

 

Sasar buka 50 cawangan baharu setahun

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Caring, Lee Meng Chuan berkata, penyenaraian membuka lembaran baharu dalam perkembangan kumpulan berkenaan.

 

Beliau berkata, Big Caring yang bermula dengan sebuah cawangan BIG Pharmacy di Damansara Uptown pada 2006 kini berkembang menjadi rangkaian farmasi runcit tersusun terbesar di Malaysia, dengan 668 cawangan di seluruh negara setakat 30 September 2026.

 

Selain perniagaan farmasi runcit, kumpulan itu turut membangunkan platform penjagaan kesihatan bersepadu yang merangkumi aktiviti pengedaran, pembuatan serta perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian.

 

Mengulas rancangan pengembangan, Lee berkata kumpulan menyasarkan pembukaan antara 40 hingga 50 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Kumpulan itu turut merancang memperluas jangkauan perniagaan ke luar Malaysia menerusi pengambilalihan Yeap Medical Supplies, selain meneruskan usaha menyediakan produk penjagaan kesihatan berkualiti pada harga berpatutan dan mudah diakses pengguna.

 

Creador kekal pemegang saham utama

Rangkaian farmasi Big Caring merangkumi BIG Pharmacy, CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Wellings Pharmacy, Ting Pharmacy dan iCare Pharmacy.

 

Kumpulan itu turut menjalankan aktiviti pembuatan, pengimportan, pemasaran, pengedaran dan pemborongan produk penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta nutraseutikal, selain menyediakan perkhidmatan fisioterapi dan konsultasi kesihatan jarak jauh.

 

Sementara itu, firma ekuiti swasta Creador memegang kira-kira 19% kepentingan dalam Big Caring selepas penyenaraian, dengan pegangan itu berpotensi dikurangkan lagi sebanyak tiga mata peratusan sekiranya opsyen peruntukan lebihan (over-allotment option) dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved