sarah17/11/2026 - 17:21 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Big Caring Group Bhd (Big Caring) mencatatkan hasil sebanyak RM1.11 bilion dan keuntungan bersih RM85 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (1QFY2027), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 November ini.
Menurut laporan kewangan yang difailkan di Bursa Malaysia, perniagaan runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM1.04 bilion atau 93.3% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2026.
Kumpulan itu merekodkan keuntungan kasar RM358.3 juta dengan margin 32.2%, manakala keuntungan operasi berjumlah RM142.9 juta selepas mengambil kira perbelanjaan operasi dan pentadbiran sebanyak RM250.4 juta.
Keuntungan sebelum cukai pula mencecah RM122.2 juta, sementara keuntungan selepas cukai RM85 juta merangkumi RM72.5 juta yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat dan RM12.5 juta kepada kepentingan bukan kawalan.
Sasar pembukaan 40 hingga 50 cawangan setahun
Big Caring yang mengendalikan 668 cawangan runcit di seluruh Malaysia setakat 30 September 2026 merancang membuka kira-kira 40 hingga 50 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Syarikat turut menyasarkan pertumbuhan jualan cawangan sedia ada antara 7% hingga 9% bagi tempoh tiga tahun akan datang, selain meneruskan strategi pengambilalihan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri farmasi runcit.
Menurut laporan penyelidikan Frost & Sullivan yang dipetik dalam dokumen penyenaraiannya, industri farmasi runcit Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 8.6% antara 2025 hingga 2030, disokong peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan dan populasi yang semakin menua.
Pinjaman bank berjumlah RM1.34 bilion
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman bank Big Caring berada pada RM1.34 bilion setakat 30 September 2026, berbanding RM1.36 bilion pada akhir Jun, manakala inventori meningkat kepada RM1.06 bilion daripada RM911.8 juta.
Syarikat memperuntukkan RM570.7 juta atau 89.5% daripada hasil kasar tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM637.8 juta untuk membayar balik sebahagian pinjaman bank, selain RM30 juta bagi membangunkan pusat pengedaran baharu dan RM37.1 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Big Caring dijadual disenaraikan pada 19 November 2026 pada harga RM1.08 sesaham, dengan laporan kewangan terbaharu ini menjadi keputusan suku tahunan pertamanya yang diumumkan mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, tanpa angka perbandingan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.- DagangNews.com






