'Titip doa buat suami, moga pulang bawa cahaya iman' - Coretan Yusry untuk Lisa Surihani bikin ramai sebak

Lifestyle
25 May 2026 • 11:29 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Titip doa buat suami, moga pulang bawa cahaya iman' - Coretan Yusry untuk Lisa Surihani bikin ramai sebak

PERKONGSIAN romantis penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim buat isterinya, pelakon Datin Lisa Surihani yang kini sedang menunaikan ibadah haji mencuri perhatian warga maya.

Menerusi satu hantaran menyentuh hati, Yusry meluahkan rasa syukur apabila isterinya sekali lagi dijemput menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci.

"Dijemput lagi melangkah ke Tanah Suci sebagai tetamu ALLAH, semoga setiap langkahmu dipermudahkan, setiap doa diangkat ke langit, dan setiap ibadah diterima dengan penuh rahmat-NYA," kongsinya.

Dalam nukilan sama, anggota kumpulan KRU itu turut menitipkan doa agar suri hati kesayangannya itu dikurniakan haji yang terbaik.

Apa yang lebih menyentuh hati apabila pelantun lagu Dekat Padamu itu juga berharap kepulangan isterinya itu nanti akan membawa cahaya iman yang lebih indah buat diri dan keluarga mereka.

Image from: 'Titip doa buat suami, moga pulang bawa cahaya iman' - Coretan Yusry untuk Lisa Surihani bikin ramai sebak

"Ya ALLAH, kurniakanlah isteriku haji yang mabrur, hati yang tenang, serta perjalanan yang dipenuhi keberkatan dan perlindungan-MU.

"Semoga pulang nanti membawa cahaya iman yang lebih indah buat diri, keluarga dan kehidupan kami.

"Labbaikallahumma Labbaik, titipkan juga doa buat kami di hadapan Kaabah nanti. Doakan juga supaya suamimu ini bakal menyusul bersama-sama suatu hari nanti," tulis Yusry.

Perkongsiannya itu menerima reaksi positif daripada warganey yang rata-rata mendoakan agar Lisa dikurniakan haji yang mabrur. Ujar mereka:

"Mudahnye ke syurga dengan reda suami sahaja, masya-ALLAH."

"Bertuahnya mempunyai suami yang mencintai, doa seorang suami dan suami yang tidak malu menunjukkan rasa sayang. Masya-ALLAH she got all of it, Alhamdullillah. Semoga kalian sentiasa dalam lindungannya."

"Sebak baca. Doa seorang suami buat isterinya. Moga keluarga sentiasa dalam lindungan, reda dan rahmat ALLAH."

Lisa terdahulu berlepas ke Makkah pada 7 Mei.

Untuk rekod, pelakon Manisnya Cinta di Cappadoccia itu mendirikan rumah tangga dengan berkahwin dengan Yusry pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.

View Original Article