Bila warga emas dilamun cinta

23 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bila warga emas dilamun cinta

TULAR di media sosial kisah seorang nenek berusia 66 tahun dari Lampang, Thailand yang sanggup mengembara lebih 100 kilometer seorang diri ke Lapangan Terbang Chiang Mai untuk bertemu dengan kekasih hatinya didakwa seorang juruterbang baru-baru ini.

Lebih mengejutkan wanita warga emas tersebut dikatakan masih mempunyai suami. Wanita itu pergi ke Chiang Mai dengan menaiki bas awam yang mengambil masa 1 jam 30 minit hingga dua jam perjalanan tanpa pengetahuan ahli keluarganya termasuk anak-anak.

Perkara itu hanya terbongkar selepas polis pelancong dan petugas keselamatan di lapangan terbang melihat wanita tersebut menunggu seorang diri di terminal sebelum menghampirinya pada malam 16 September lalu.

Rupa-rupanya wanita itu menunggu kekasihnya bernama ‘Chai’. Dia mendedahkan mengenali ‘Chai’ di Facebook dan mempercayai lelaki itu seorang juruterbang.

Selepas ditunjukkan gambar, pegawai terbabit terkejut apabila mendapati ‘watak’ Chai yang dikenali mangsa menerusi media sosial sebenarnya dijana kecerdasan buatan (AI).

Ia kelihatan sempurna sehingga wanita tersebut mempercayai dia sedang berinteraksi dengan manusia sebenar dan angau. Namun tidak dapat dipastikan tempoh perkenalan mereka dan maklumat lain berikutan masalah bahasa.

Kisah yang menimpa warga emas di negara jiran itu turut berlaku di Malaysia apabila seorang wanita berusia 71 tahun dari Rembau, Negeri Sembilan nyaris rugi RM10,000 selepas berhubung dengan sindiket dipercayai love scam awal bulan ini.

Pesara itu bernasib baik kerana transaksi tersebut berjaya dihalang oleh pihak polis yang tiba di sebuah bank lokasi mangsa melakukan pemindahan wang.

Rupa-rupanya itu kali ketiga wanita tersebut memasukkan wang kepada scammer selepas membuat dua transaksi masing-masing RM4,950 dan RM4,900 sebelum ini.

Tepuk dahi penulis melihat gelagat warga emas lebih-lebih lagi kaum wanita yang terjerat dengan love scam di media sosial. Laman sosial seperti Faceook yang dilihat ‘mesra warga emas’ ibarat bom jangka dan boleh menjerat diri sekiranya tidak digunakan atau diuruskan dengan baik.

Ia menjadi lubuk bagi penjenayah seperti love scam, pelaburan atau tawaran pekerjaan tidak wujud untuk mencari mangsa seterusnya membuat pelbagai janji palsu bagi memancing emosi sebelum meminta wang.

Jika dilihat dari segi logik, pada usia emas mengapa masih ada wanita sebaya ibu kita masih terpesona dengan kata-kata cinta apatah lagi dilontarkan oleh individu yang mempunyai kerjaya hebat seperti pilot dan jurutera minyak dan gas yang tiada di depan mata. Malah gambar yang digunakan juga milik orang lain yang boleh disemak menggunakan enjin carian Google.

Baki usia yang ada sepatutnya diisi dengan aktiviti bermanfaat bukannya melekat 24 jam dengan telefon bimbit dan menjadi hamba media sosial sehingga mengabaikan kesihatan dan keluarga.

Lebih malang menghabiskan wang simpanan yang dikumpul berpuluh-puluh tahun untuk diserahkan kepada scammer.

Jika selama ini kita memantau anak-anak kecil menggunakan gajet, langkah sama juga harus dilakukan terhadap orang tua kita. Kenal pasti sekiranya terdapat perubahan misalnya tingkah laku.

Mencegah itu lebih baik daripada menanggung rugi dan malu di kemudian hari. -KOSMO! ONLINE

The post Bila warga emas dilamun cinta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved