BIMB Securities jangka permintaan biodiesel, El Niño sokong harga CPO RM4,500 pada 2027

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 9:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BIMB Securities jangka permintaan biodiesel, El Niño sokong harga CPO RM4,500 pada 2027 Image from: BIMB Securities jangka permintaan biodiesel, El Niño sokong harga CPO RM4,500 pada 2027 liza13/10/2026 - 09:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Stok minyak sawit Malaysia yang mencecah paras rekod pada September 2026 dijangka memberi tekanan kepada harga minyak sawit mentah (CPO) dalam jangka pendek, namun prospek industri perladangan kekal positif menjelang 2027, menurut BIMB Securities Research.

 

Dalam laporan tinjauan sektor perladangan berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi September 2026, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'Overweight' terhadap sektor berkenaan disokong jangkaan permintaan biodiesel yang lebih tinggi dan kemungkinan gangguan bekalan akibat fenomena El Niño.

 

Firma itu berkata stok akhir minyak sawit Malaysia meningkat 24.5% kepada 3.51 juta tan metrik pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya yang mencatat paras tertinggi dalam rekod. Jumlah itu juga meningkat 48.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

“Peningkatan stok berlaku apabila pengeluaran meningkat dengan ketara, sedangkan eksport merosot untuk bulan kedua berturut-turut. Keadaan itu meningkatkan jumlah bekalan yang tersedia di pasaran dan menimbulkan risiko penurunan harga CPO dalam tempoh terdekat,” kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Pengeluaran meningkat, eksport merosot

Pengeluaran CPO Malaysia meningkat 16.5% kepada 2.12 juta tan metrik pada September, paras tertinggi bagi pengeluaran bulanan, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 2.05 juta tan metrik yang dicatatkan pada Ogos 2015.

 

Sabah merekodkan peningkatan pengeluaran terbesar dari segi kadar pertumbuhan, iaitu 35% kepada 457,800 tan metrik. Sarawak pula mencatatkan pengeluaran sebanyak 507,100 tan metrik, meningkat 15.5%, manakala Semenanjung Malaysia merekodkan 1.15 juta tan metrik, naik 10.9%.

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, pengeluaran CPO terkumpul meningkat 1.9% kepada 14.75 juta tan metrik berbanding 14.47 juta tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah itu bersamaan 73% daripada unjuran pengeluaran setahun penuh BIMB Securities sebanyak 20.19 juta tan metrik.

 

Bagaimanapun, eksport minyak sawit Malaysia merosot 12.1% kepada 1.12 juta tan metrik pada September berbanding 1.28 juta tan metrik pada Ogos. Berbanding September 2025, eksport turut susut 21.5%, meskipun jumlah eksport bagi sembilan bulan pertama 2026 masih meningkat 4% kepada 11.48 juta tan metrik.

 

BIMB Securities menjangkakan pengeluaran kekal tinggi pada awal Oktober sebelum beransur-ansur menurun menjelang akhir tahun. 

 

“Pengurangan pengeluaran bermusim mulai November hingga suku pertama 2027 dijangka membantu memperlahankan pertambahan stok, sekali gus memberi ruang kepada pasaran untuk kembali seimbang sekiranya permintaan eksport bertambah baik.

 

Permintaan biodiesel dan risiko cuaca sokong harga

“Peningkatan stok semasa tidak semestinya berterusan kerana pasaran minyak sayuran global dijangka berdepan bekalan yang lebih terhad menjelang 2027.

 

“Permintaan minyak sayuran dunia dijangka terus meningkat, termasuk untuk pengeluaran biodiesel. Penggunaan biodiesel yang lebih tinggi di Indonesia berpotensi mengurangkan bekalan minyak sawit yang tersedia untuk pasaran lain dan akan menyokong harga,” katanya.

 

Dalam masa sama, fenomena El Niño yang semakin kuat meningkatkan risiko kekurangan hujan berpanjangan dan penurunan hasil kelapa sawit pada 2027. 

 

BIMB Securities menyatakan bahawa keadaan cuaca itu boleh menyebabkan pengeluaran lebih rendah daripada jangkaan, terutama jika kesannya berpanjangan.

 

Laporan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) yang dirujuk BIMB Securities turut menunjukkan nisbah stok kepada penggunaan bagi sembilan jenis minyak sayuran utama dunia dijangka turun kepada 12.6% pada musim 2026/2027, berbanding 13.3% pada musim sebelumnya.

 

Firma itu berkata keadaan tersebut mencerminkan permintaan yang berkembang lebih pantas daripada bekalan, sekali gus menyokong pandangan positif terhadap harga minyak sawit meskipun stok Malaysia berada pada paras tinggi.

 

Harga CPO dijangka meningkat pada 2027

BIMB Securities mengekalkan unjuran harga purata CPO pada RM4,400 setan metrik bagi 2026 dan RM4,500 setan metrik bagi 2027 dengan risiko kenaikan yang lebih ketara terhadap unjuran tahun depan.

 

Harga purata CPO pada September 2026 meningkat 1.5% kepada RM4,614.50 setan metrik berbanding bulan sebelumnya, manakala purata bagi tempoh Januari hingga September naik 2.3% kepada RM4,451 setan metrik berbanding RM4,350 setan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, pergerakan harga menjadi lebih lemah menjelang akhir tempoh berkenaan susulan kebimbangan terhadap peningkatan stok dan penurunan harga minyak kacang soya. 

 

BIMB Securities menjangkakan harga CPO bergerak dalam julat RM4,300 hingga RM4,800 setan metrik pada suku keempat 2026, sebelum meningkat kepada RM4,500 hingga RM5,000 setan metrik pada separuh pertama 2027.

 

“Selain permintaan biodiesel dan risiko cuaca, kami turut menjangkakan pembelian semula stok menjelang Deepavali serta kemungkinan pembelian awal oleh Kesatuan Eropah menjelang pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) bagi pengendali besar dan sederhana pada 30 Disember 2026 dapat menyokong permintaan.

 

BIMB Securities kekal utamakan syarikat huluan

“Dalam kalangan syarikat perladangan, kami mengutamakan pengusaha yang mempunyai tumpuan lebih tinggi kepada aktiviti huluan memandangkan mereka berpotensi mendapat manfaat lebih besar sekiranya harga CPO meningkat,” katanya.

 

Hap Seng Plantations kekal sebagai pilihan utama firma penyelidikan itu dengan saranan 'Beli’ dan harga sasaran RM3 sesaham. Penilaian tersebut disokong kepekaan pendapatan syarikat terhadap harga CPO, kedudukan kewangan yang sihat serta potensi hasil dividen sekitar 4%.

 

Bagi syarikat bermodal pasaran besar, BIMB Securities memilih SD Guthrie dengan saranan 'Beli' dan harga sasaran RM7.50 sesaham berdasarkan skala operasinya, peningkatan prestasi perniagaan huluan dan pendapatan berulang daripada pembangunan perindustrian.

 

Walaupun prospek harga CPO dinilai positif, BIMB Securities mengingatkan bahawa kenaikan kos baja dan upah boleh menjejaskan margin keuntungan syarikat perladangan. 

 

Pengeluaran yang kekal tinggi, eksport lebih lemah serta pelaksanaan mandat biodiesel yang lebih perlahan turut menjadi risiko kepada unjuran harga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved