Belanjawan 2027 sokong prospek projek pembinaan, namun pemangkin baharu terhad – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027 sokong prospek projek pembinaan, namun pemangkin baharu terhad – BIMB Securities Image from: Belanjawan 2027 sokong prospek projek pembinaan, namun pemangkin baharu terhad – BIMB Securities sarah12/10/2026 - 09:00 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt -- Belanjawan 2027 memberi sedikit sentimen positif kepada sektor pembinaan meskipun pengumuman projek infrastruktur utama baharu terhad, dengan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM83 bilion dan pelaburan awam-swasta RM11 bilion terus menyokong aliran projek.

 

BIMB Securities Research (BIMB Securities) berkata, sektor air muncul sebagai pemacu peluang baharu menerusi peruntukan RM2.5 bilion bagi program pengurangan air tidak berhasil (NRW) serta perjanjian bekalan air pukal antara Perak dan Pulau Pinang.

 

Selain itu, projek Sistem Transit Aliran Automasi (E-ART) di Johor Bahru, pembangunan jalan raya di Malaysia Timur dan perbelanjaan swasta bagi pusat data turut menyokong peluang mendapatkan kontrak baharu.

 

Peruntukan mekanisme pelarasan harga (VOP) bagi diesel dan bitumen yang diperkenalkan semula pula memberi sedikit kelegaan kepada kontraktor yang layak, meskipun tekanan kos upah subkontraktor masih menjadi cabaran.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan **'Overweight'** terhadap sektor pembinaan. 

 

Perbelanjaan pembangunan terus menyokong sektor

BIMB Securities menilai Belanjawan 2027 sebagai sedikit positif kepada sektor pembinaan walaupun tiada pengumuman projek infrastruktur utama baharu berskala besar.

 

Defisit fiskal dijangka mengecil kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala perbelanjaan pembangunan meningkat 2.5% kepada RM83 bilion.

 

Peruntukan terpilih berkaitan pembinaan, meliputi sektor pengangkutan, kesihatan, alam sekitar, perdagangan dan industri, tenaga dan utiliti awam serta perumahan, meningkat lebih pantas sebanyak 4.2% kepada RM36 bilion.

 

Jumlah itu merangkumi 43.4% daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan, berbanding anggaran 42.7% pada 2026.

 

Menurut firma penyelidikan itu, peruntukan berkenaan menyokong pelaksanaan projek sedia ada, selain pelaburan awam-swasta RM11 bilion dan perbelanjaan berterusan sektor swasta bagi pembangunan pusat data.

 

Bagaimanapun, peruntukan tersebut turut merangkumi perbelanjaan bukan pembinaan, manakala pemerolehan kontrak baharu dan pelaksanaan projek kekal sebagai pemacu utama pendapatan syarikat.

 

air

 

Sektor air tawar peluang tambahan

Program NRW nasional bernilai RM2.5 bilion dijangka menyokong kerja pemulihan rangkaian bekalan air dan penggantian paip.

 

Ranhill Utilities, menerusi Ranhill SAJ, serta PBA Holdings berpotensi mendapat manfaat daripada usaha mengurangkan kehilangan air, manakala Engtex berpotensi menerima tempias daripada permintaan terhadap paip dan kelengkapan air, bergantung pada spesifikasi serta proses perolehan.

 

Perjanjian bekalan air pukal Perak-Pulau Pinang selama 40 tahun pula membuka peluang kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang lebih besar kepada Gamuda menerusi usaha sama projek NPWSS dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

 

Bagaimanapun, kontrak pembinaan bagi projek berkenaan masih belum dimuktamadkan secara rasmi.

 

BIMB Securities Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran RM5.91, manakala Ranhill Utilities menerima saranan 'Pegang' dengan harga sasaran RM2.39.

 

art

 

Projek pengangkutan dan jalan raya sokong kerja awam

Pembangunan E-ART bertingkat di Johor Bahru, cadangan lanjutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang serta peruntukan RM3.3 bilion bagi jalan raya di Sabah dan Sarawak terus menyokong aliran projek infrastruktur.

 

Selain itu, kira-kira RM10.5 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan raya dan pembangunan jalan luar bandar, sekali gus menyediakan sokongan tambahan kepada aktiviti pembinaan.

 

E-ART berpotensi menjadi pemangkin pemerolehan kontrak pada 2027, dengan Kimlun Corporation Bhd berkemungkinan membekalkan viaduk dan galang kotak bersegmen, tertakluk pada pelantikan rasmi.

 

VOP bantu tampung kenaikan kos bahan api

Pelaksanaan semula peruntukan VOP bagi diesel dan bitumen memberikan kelegaan kepada kontraktor yang layak, namun mekanisme itu tidak meliputi kos upah pekerja.

 

Cadangan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 pula berpotensi meningkatkan kos subkontraktor, dengan tahap pendedahan berbeza mengikut komposisi tenaga kerja setiap syarikat.

 

BIMB Securities menjangkakan kenaikan kos tersebut boleh diambil kira dalam penawaran tender baharu, manakala pemulihan kos bagi kontrak sedia ada bergantung pada terma masing-masing. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved