hamden20/11/2026 - 10:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - CBH Engineering Holding Bhd (CBHB) berpotensi mencatatkan keuntungan bersih sehingga RM115.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY26), disokong pelaksanaan buku tempahan yang lebih pantas apabila beberapa projek utama kumpulan itu memasuki fasa kemuncak pembinaan.
TA Research menjangkakan keuntungan bersih kumpulan berkenaan meningkat kepada RM104.2 juta hingga RM115.6 juta, mengatasi unjuran terdahulu dan konsensus pasaran, susulan kadar penukaran buku pesanan yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Prospek itu turut disokong kedudukan CBHB yang sudah memperoleh kontrak baharu bernilai RM528.2 juta setakat FY26, bersamaan 88% daripada sasaran pemerolehan kontrak baharu sebanyak RM600 juta.
Selain itu, kumpulan mempunyai senarai tender bernilai RM1 bilion, dengan 70% daripadanya berkaitan projek pusat data (DC), sekali gus menyediakan peluang untuk mengekalkan momentum pertumbuhan buku pesanannya.
Menurut firma penyelidikan itu, CBHB dijangka terus mendapat manfaat daripada kedudukannya dalam segmen pembinaan infrastruktur tenaga pusat data serta keupayaan bersepadu mekanikal dan elektrikal (M&E).
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan BELI terhadap saham CBHB, dengan harga sasaran sedikit rendah pada RM1.40 berbanding RM1.41 sebelum ini.
Pelaksanaan projek lebih pantas pacu keuntungan
Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 (9MFY26), CBHB mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM77.3 juta, melonjak 259% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu mengatasi unjuran setahun penuh firma penyelidikan berkenaan dan konsensus pasaran, didorong pelaksanaan buku pesanan yang meningkat 243.6% tahun ke tahun.
Berdasarkan buku tempahan belum dilaksanakan terkini sebanyak RM710.1 juta, pihak pengurusan menjangkakan kira-kira 30% hingga 40% daripadanya akan diiktiraf pada suku keempat FY26 (4QFY26).
Ini bersamaan penukaran buku pesanan antara RM213 juta hingga RM284 juta, sekali gus meningkatkan jumlah penukaran buku pesanan sepanjang FY26 kepada RM651.5 juta hingga RM722.5 juta.
Jumlah itu kira-kira 20% hingga 33% lebih tinggi berbanding andaian terdahulu firma penyelidikan sebanyak RM540.8 juta.
Dengan mengambil kira andaian margin bersih 16%, kadar penukaran buku pesanan lebih tinggi itu berpotensi menghasilkan keuntungan bersih antara RM104.2 juta hingga RM115.6 juta bagi FY26.
Tender pusat data bernilai RM1 bilion
Dalam perkembangan berkaitan, CBHB mempunyai senarai tender bernilai RM1 bilion yang terdiri daripada 70% projek berkaitan pusat data dan 30% projek bukan pusat data.
Saluran tender bukan pusat data merangkumi kerja M&E bagi pembangunan komersial dan kediaman bertingkat tinggi, selain satu hingga dua projek solar berskala besar.
Pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa tender bagi satu hingga dua projek pencawang pusat data daripada pelanggan baharu kini berada pada peringkat lanjutan, dengan keputusan penganugerahan kontrak dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Firma penyelidikan itu kekal yakin CBHB mampu mencapai sasaran pemerolehan kontrak baharu FY26 sebanyak RM600 juta, disokong saluran tender berkenaan. - DagangNews.com





