Bina hidup baharu selepas 25 tahun jadi hamba syabu

11 Aug 2026 • 7:27 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bina hidup baharu selepas 25 tahun jadi hamba syabu

TAWAU: Lebih 25 tahun hidup menjadi hamba syabu sehingga acapkali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan, namun akhirnya berjaya meninggalkan dunia gelap itu dan membina kehidupan baharu.

Chok Juin Vui, 48, yang mula terjebak dengan dadah sejak usia 16 tahun, kini bukan sahaja bebas daripada dadah sejak 2020, malah bangkit sebagai usahawan dengan memiliki empat restoran di beberapa lokasi di Sabah.

Lelaki kelahiran Tawau itu tidak pernah cuba menyembunyikan hakikat perjalanan hidupnya pernah dipenuhi episod ketagihan, pemenjaraan dan kegagalan untuk pulih.

Sebaliknya, pengalaman hi­tam itu kini dijadikan pengajaran kepada generasi muda agar tidak mengulangi jalan sama yang hampir musnahkan hidupnya.

“Saya mula terbabit dengan dadah ketika usia 16 tahun dan pernah dipenjara dua tahun enam bulan di New Zealand atas kesalahan mengedar dan mengambil dadah pada 2003.

“Selepas dibebaskan, saya menjalani rawatan selama dua tahun di sebuah pusat pemulihan swasta di Kuala Lumpur pada tahun 2005,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, usaha membebaskan diri daripada ketagihan bukan sesuatu yang mudah apabila beliau kembali terjerumus selepas menjalani rawatan.

Beliau sekali lagi melalui episod pemenjaraan dan rawatan pemulihan dari 2010 hingga 2017 sebelum berjaya meninggalkan dadah sepenuhnya pada 2020.

“Selepas berkali-kali jatuh dan mencuba untuk bangkit, tahun 2020 akhirnya menjadi titik perubahan dan saya berjaya meninggalkan dadah kemudian mulakan hidup baharu.

“Saya menceburi bidang makanan dan minuman dengan membuka restoran bersama rakan kongsi saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggunakan pengalaman gelapnya sebagai medium ke­sedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda.

Beliau menerima undangan ceramah di sekolah-sekolah di Sabah dan institusi kerajaan.

“Pengalaman gelap saya itu kini menjadi modal paling berharga untuk saya dekati pelajar dan masyarakat bagi menceritakan sendiri harga yang terpaksa dibayar akibat dadah.

“Saya juga diberi peluang memberi ceramah kesedaran dan motivasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kem Motivasi AADK serta perkongsian di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Lahad Datu,” katanya.

Mengulas stigma terhadap bekas penagih, Juin Vui mengakui masyarakat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya jika masih mempunyai rasa takut atau sukar mempercayai mereka yang pernah terbabit kes dadah. – UTUSAN

The post Bina hidup baharu selepas 25 tahun jadi hamba syabu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved