sarah12/11/2026 - 14:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Binasat Communications Berhad sedang memburu kontrak baharu dalam sektor infrastruktur tenaga dan telekomunikasi bernilai RM242.86 juta, dengan keputusan rundingan dijangka diketahui selewat-lewatnya pada suku pertama 2027.
Pada masa sama, syarikat itu bercadang mengalihkan RM21.67 juta dana yang sebelum ini diperuntukkan bagi pembelian hartanah Empire City untuk membiayai keperluan modal kerja, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Menurut pekeliling kepada pemegang saham yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, keputusan rundingan kontrak berkenaan dijangka dimaklumkan oleh pihak pemberi kontrak selewat-lewatnya pada suku pertama 2027, namun tiada jaminan Binasat akan memperoleh projek tersebut.
Pekeliling itu dikeluarkan bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham terhadap cadangan perubahan penggunaan hasil penempatan saham persendirian yang diselesaikan pada 11 September 2025 serta penerbitan saham berkaitan pemerolehan hartanah Empire City yang kemudiannya dibatalkan.
Binasat bercadang menggunakan semula RM21.67 juta itu bagi membiayai kontrak sedia ada dan projek baharu yang berpotensi diperoleh, termasuk pembelian bahan mentah, bayaran kepada subkontraktor serta kos kakitangan.
Dana Empire City dialihkan kepada operasi perniagaan
Daripada jumlah RM21.67 juta yang dicadangkan untuk modal kerja, sebanyak 44% akan digunakan bagi pembelian bahan mentah, 44% untuk kos subkontraktor dan baki 12% bagi perbelanjaan kakitangan yang berkaitan dengan pelaksanaan projek.
Cadangan tersebut menyusuli pembatalan pembelian 241 unit suite hotel di Empire City pada 12 Ogos 2026, yang menyebabkan Binasat perlu menyusun semula penggunaan dana yang pada asalnya diperuntukkan bagi urus niaga hartanah berkenaan.
Berdasarkan pekeliling itu, Cosmopolitan Avenue Sdn Bhd perlu memulangkan RM32.19 juta kepada Binasat, namun setakat 3 November 2026, syarikat hanya menerima RM10 juta, manakala baki RM22.19 juta masih belum diterima.
Binasat miliki kontrak belum dibilkan RM70.39 juta
Selain rundingan projek baharu, Binasat mempunyai anggaran nilai kontrak belum dibilkan sebanyak RM70.39 juta daripada empat projek sedia ada yang bernilai keseluruhan RM110.22 juta, dengan hasil dijangka direkodkan secara berperingkat sehingga 2031.
Nilai kontrak belum dibilkan itu merangkumi kerja infrastruktur dan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi serta tenaga, sekali gus menyediakan asas aktiviti perniagaan ketika syarikat berusaha mendapatkan projek tambahan.
Cadangan perubahan penggunaan dana berkenaan akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadualkan berlangsung pada 27 November 2026. Sehingga kelulusan diperoleh, pengalihan dana RM21.67 juta itu masih merupakan cadangan dan belum dimuktamadkan. - DagangNews.com






