sarah05/11/2026 - 09:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Waja Konsortium Bhd (Waja Konsortium) memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM190 juta bagi membangunkan 848 unit kediaman merangkumi pangsapuri perkhidmatan dan rumah bandar mampu milik di Johor Bahru, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Waja Konsortium berkata, anak syarikat milik 51% kumpulan itu, Waja Build Tech Sdn Bhd (WBTSB), menerima surat anugerah daripada Affluent Crafts Sdn Bhd pada 4 November 2026 bagi melaksanakan kerja pembinaan bangunan utama dan kerja luaran projek berkenaan.
Kontrak itu merangkumi pembinaan sebuah pangsapuri perkhidmatan setinggi 26 tingkat dengan 824 unit kediaman serta sebuah blok rumah bandar mampu milik jenis C setinggi tiga tingkat yang menempatkan 24 unit.
Pembangunan di Jalan Suria Muafakat Utama itu turut melibatkan pembinaan enam tingkat podium tempat letak kereta, dua tingkat tempat letak kereta separa bawah tanah, podium kemudahan, pejabat pengurusan, pencawang elektrik dan kemudahan berkaitan.
Tempoh pembinaan 24 bulan, penalti kelewatan RM70,000 sehari
Menurut Waja Konsortium, kontrak bernilai RM190 juta termasuk cukai perkhidmatan 6% itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula daripada tarikh arahan memulakan kerja dikeluarkan oleh arkitek projek.
Di bawah syarat kontrak, WBTSB boleh dikenakan ganti rugi kelewatan sebanyak RM70,000 sehari sekiranya gagal menyiapkan keseluruhan kerja dalam tempoh ditetapkan, manakala tempoh tanggungan kecacatan adalah selama 27 bulan selepas tarikh yang dinyatakan dalam sijil penyiapan praktikal.
WBTSB juga perlu menyediakan jaminan pelaksanaan berbentuk jaminan bank bernilai RM9.5 juta, bersamaan 5% daripada nilai kontrak, yang perlu kekal sah sehingga enam bulan selepas penyiapan praktikal projek.
Kontrak baharu susulan keluar daripada status GN3
Waja Konsortium berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya, tertakluk kepada keadaan luar jangka, dengan pembiayaan menerusi dana dalaman dan/atau pinjaman bank mengikut keperluan.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Waja Konsortium keluar daripada status Nota Panduan 3 (GN3) Bursa Malaysia pada 8 Julai 2026, susulan penyempurnaan pelan regularisasi yang merangkumi pengurangan modal saham sebanyak RM85 juta, selepas diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah kewangan pada Oktober 2023.
Kumpulan itu turut memaklumkan bahawa kontrak berkenaan tidak dijangka memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utamanya, selain tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan kerana ia merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan.- DagangNews.com






